Memaparkan catatan dengan label sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sejarah. Papar semua catatan

Ahad, 13 April 2025

Ayothaya Wujud, Bukan Sekadar Lagenda

 

Sarjana mendedahkan bahawa prasasti di Wat Inthararam Worawiharn di daerah Thonburi, Bangkok menggambarkan bahawa negara kota Ayothaya telah wujud sebelum kewujudan kerajaan Sri Ayutthaya dan ia bukan hanya sekadar kota lagenda atau pun khayalan.

Dalam kes di Wat Inthararam Worawiharn di mukim Bang Yi Ruea, daerah Thonburi, satu prasasti ditemui di bawah sebuah patung Buddha bergaya Sukhothai yang disemayamkan di astaka Cina yang terletak di balai pentahbisan. Kata kunci "Sri Ayutthaya" muncul bersama dengan nama individu dalam babad. Selain itu, ia mencatitkan tarikh pada tahun 1974 dalam takwim Buddha, bersamaan tahun 1431 M, semasa pemerintahan Chao Sam Phraya di kota Sri Ayutthaya. Bacaan tidak rasmi prasasti ini diterbitkan pada 10 April 2025 oleh Prof. Madya Dr. Rungroj Phiromanukul dan Prof. Madya Thanachot Kiatnapat yang kedua-duanya adalah pensyarah di Fakulti Kemanusiaan, Universiti Ramkhamhaeng.

Seperti kebiasaannya, pada 13 April 2025, Prof. Madya Dr. Rungroj Phiromanukul yang memantau rekod dan bacaan rekod sejarah tersebut berkata bahawa penemuan prasasti ini mengesahkan rekod-rekod lain mengenai kewujudan "Ayothaya" sebelum kewujudan kerajaan Sri Ayutthaya.     

Menurut beliau lagi, walaupun nama Ayothaya dalam prasasti itu sebenarnya merujuk kepada Sri Ayutthaya, namun ia turut menggambarkan bahawa nama kerajaan Sri Ayutthaya selepas itu timbul bersempena kenangan kepada negara kota Ayothaya yang wujud sebelum tahun 1893 BE (1350 M). Oleh kerana prasasti ini bukan prasasti yang dikeluarkan oleh istana di negara kota tengah, tetapi berasal dari kelompok bangsawan Sri Satchanalai di negara kota Sukhothai pada zaman Sri Ayutthaya awal, maka boleh jadi nama Sri Ayutthaya yang menjadi nama kerajaan itu adalah nama lama bagi kerajaan yang sebelumnya tetapi disebut sebagai Ayothaya.

Rujukan boleh didapati dalam bahasa Thai di portal akhbar dalam talian Khao Sod, berjudul, "นักวิชาการ เผย จารึกวัดดัง สะท้อนว่า อโยธยา มีมาก่อนอยุธยาจริง ไม่ใช่แค่เมืองในตำนาน" atau terjemahannya ke bahasa Melayu, "Sarjana dedahkan bahawa prasasti wat terkenal menggambarkan Ayothaya telah wujud dahulu, bukan sekadar negara kota dalam lagenda" bertarikh 13 Mei 2025. 

Ahad, 26 Januari 2025

Kisah Menakjubkan Tradisi Keturunan Portugis di Siam

 


Pada abad ke-16 masihi, berdozen-dozen askar upahan Portugis telah tiba di Siam, menjadikan mereka sebagai peneroka Eropah pertama yang sampai di situ. Mereka menjadi nenek moyang kepada sebahagian daripada penduduk Thailand. Keturunan Portugis kini tinggal di satu kawasan kecil di Bangkok yang digelar sebagai Kudee Chin. Mereka mengamalkan tradisi mereka sejak abad ke-16 masihi di lingkungan tanah yang dikurniakan kepada nenek moyang mereka semasa pembentukan kota sebagai tanda penghargaan daripada raja Siam atas keberanian mereka dalam peperangan.

Adam Gottschalk membawa penonton menelusuri sejarah di kejiranan tersebut dan bertemu dengan keturunan askar upahan Portugis tersebut. Di samping itu, mereka mencuba hidangan makanan yang unik dan hanya ditemui di beberapa lorong kecil di kejiranan tersebut sahaja.

Dokumentari ini boleh diakses dan ditonton di "The Incredible Story of Thailand's Portuguese" terbitan OTR Food and History pada 11 Oktober 2022. Akhir sekali, maklumat lanjut berkenaan Portugal dan Portugis di Asia dalam bahasa Melayu boleh juga diperolehi dari laman, "O Mundo Lusitano" dari kumpulan nota Happy Buffalo.

Sabtu, 11 Januari 2025

Warisan Negara Hilang ke Mana?

Menurut rancangan SPOTLIGHT segmen World berjudul มรดกชาติหายไปไหน? เปิดเส้นทางลำเลียงสู่การฟอกขาวในตลาดโลก (Warisan Negara Hilang ke Mana? Pendedahan Bagaimana Bahan Purba dipindahkan ke Pasaran Dunia) pada 6 Januari 2025, banyak bahan purba dari negara Thailand ditemui berada di luar negara walaupun wujud undang-undang yang melarang warisan negara dibawa keluar sempadan negara. Melalui rancangan ini, kita akan melihat bagaimana proses penyeludupan bahan purba ke luar negara berlaku hingga kepada pemutihannya di pasaran dunia.

Secara umumnya aku berpandangan bahawa usaha mempromosi sejarah serta jalinannya dalam industri pelancongan di Thailand adalah satu wawasan yang bijak. Tidak kisahlah bagaimana pun sejarah lampau kita, namun kita boleh mempelajari sesuatu dan mendapat pelajaran daripadanya. Harap masukan ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada peminat sejarah di Malaysia.  

Khamis, 10 Disember 2020

Lagenda Wat Gua Bukit Batu Kapur

 

Apa khabar rakan-rakan yang tidak aku kenali sekelian? Bagaimanakah keadaan pandemik Covid-19 di negara anda? Pandemik Covid-19 di negara aku kini sudah masuk peringkat keempat atau mungkin lebih daripada lima peringkat. Aku pun sudah tak tahu dan malas untuk mengambil tahu lagi.

Pada saat ini, internet dan aplikasi atas talian (online) memang mendapat tempat di hati masyarakat dunia. Orang ramai menghabiskan masa mereka menonton Youtube, Netflix, Iflix, TV online dan bermacam-macam lagi saluran alternatif untuk menghilangkan kebosanan apabila terkurung di rumah akibat tempoh kawalan pergerakan. Aku pun begitu juga. Aku menonton saluran-saluran berkenaan dengan alam ghaib seperti hantu, roh dan sebagainya. Salah satu rancangan yang aku minati berkenaan dengan alam ghaib dari negara Thailand adalah ช่องส่องผี Chong Song Phee yang bermaksud rancangan mengintai hantu. Aku akan berikan review lanjut dalam ruangan berasingan. 

Di sini, aku ingin mengabadikan tentang apakah yang ditemui oleh rancangan seperti yang disebutkan itu dalam penjelajahan mereka memandangkan mereka tidak menyediakan sari kata dalam bahasa Inggeris untuk tontonan masyarakat antarabangsa.

Tonton rancangan secara atas talian di EP. 32 Lagenda Gua Bukit Batu Kapur di negeri Kanchanaburi, Thailand. Sila klik di sini tapi aku terpaksa memohon maaf kerana tiada sari kata dalam bahasa Inggeris. Maklumat yang aku konsikan di sini adalah maklumat yang dipetik dari rancangan ini. Sekian, terima kasih.