Melawat Lokasi Pembunuhan Johanne Marsheder

Selepas keluar dari lawatan dalam gua wat tersebut, Boy memaklumkan bahawa setakat yang beliau tahu melalui seorang sami di situ bahawa wat tersebut mempunyai dua gua namun Rainy pula mendapat maklumat dari makhluk halus penghuni gua tersebut bahawa terdapat tiga gua sebenarnya di situ. Dalam gua yang dilawati mereka itu ada sembilan bilik, gua kecil atau ruangan.

Kini, rancangan ini membawa penonton melawati satu lagi kawasan gua yang menyaksikan kejadian yang menyebabkan reputasi negara Thailand terjejas di seluruh dunia dan menimbulkan kesedihan yang amat sangat kepada semua orang. Pelancong warga asing datang melancong di Thailand lalu meninggal dunia di situ kerana perbuatan orang Thai sendiri.

Semasa awal rancangan, kakitangan pengambaran program ini dibawa oleh sami di wat tersebut masuk ke hutan buluh melewati kawasan gua yang mereka lawati itu pada waktu senja. Sami memberitahu bahawa beliau hanya boleh membawa kakitangan pengambaran sehingga situ sahaja dan pada waktu itu sahaja. Pada waktu tengah malam, beliau tidak masuk lagi ke kawasan itu. Awalnya, sami memberitahu bahawa beliau tidak mempercayai kisah-kisah makhluk halus atau mengenai hantu. Tetapi Boy memberitahu kepada sami bahawa mereka berniat untuk membuat pengambaran mengenai alam roh dan juga mengenai hukum karma. Beliau memberitahu sami bahawa semasa mereka membuat klip pendek di situ, kakitangan program iaitu Rainy nampak roh Johanne Marsheder berlegar-legar di situ. Rainy memberikan gambaran mengenai roh yang dilihatnya bahawa roh itu nampak seperti kepalanya dihentak sesuatu dan darah mengalir dari kepalanya. Boy cuba mengesahkan sama ada Rainy mengetahui bahawa gambaran yang diberikan oleh beliau mengenai perkara yang dilihatnya itu bertepatan dengan perkara yang diceritakan oleh sami semasa mereka bersembang sebelum lawatan dijalankan di lokasi tersebut? Rainy menjawab bahawa beliau tidak tahu. Boy menyambung lagi bahawa sami tersebut memaklumkan beliau bahawa sami tidak mempercayai kewujudan hantu. Namun, secara 'kebetulannya', memang pernah ada seorang sramanera yang tidur di bahagian hadapan wat. Lalu, ada seorang wanita caucasia memanggilnya dan bertanya, "lapar tak?" Sramanera pun menjawab, "lapar." Lalu, beliau pun berjalan mengikuti wanita caucasia tersebut masuk ke kawasan hutan buluh dan kembali semula ke hadapan wat itu. Berdasarkan cerita semasa sesi berbicara dengan sami di wat itu, kelihatan seperti gambaran yang diberikan oleh beliau itu menyerupai Johanne Marsheder dari segi pakaian yang dipakai oleh 'wanita' tersebut dan rupanya.

Pada waktu tengah malam, agak sukar sedikit kakitangan pengambaran program hendak merakamkan sebarang imej di dalam hutan kerana keadaan yang gelap. Boy menceritakan bahawa menurut laporan berita, En. Chat Sueaphoo, kini sudah meninggal dunia telah mengikut Johanne dari belakang dan menghentak kepala Johanne sehingga menyebabkan wanita malang itu mati. Rainy memberitahu Boy dan James bahawa roh wanita itu berada di belakang mereka berdua. Roh Johanne tidak memakai kasut, memakai seluar pendek dan baju singlet berwarna putih. Rambutnya kusut dan darah mengalir di dahinya. Roh Johanne berkomunikasi memberitahu bahawa beliau tidak memakai kasut dan kasutnya hilang. Selain itu, kain beliau ditanggalkan hingga tinggal seluar pendek sahaja. Roh tersebut seolah-olah ingin memberitahu bahawa dia telah diajak oleh seseorang untuk datang melawat ke situ semasa beliau masih hidup. Menurutnya, orang yang mencadangkan beliau datang ke situ adalah seorang wanita. Menurut roh itu, beliau meninggalkan beg beliau sekejap dengan wanita yang mencadangkan beliau melawat tempat itu dan selepas itu beliau mendapati begnya hilang bersama wanita itu. Kawasan yang ditunjukkan oleh roh Johanne itu ditutup dengan wayar.

Mereka sampai di kawasan pintu gua di mana kejadian pembunuhan wanita tersebut berlaku sekitar tahun 1996. Rainy memberitahu bahawa beliau nampak roh wanita itu menangis di bawah sebatang pohon meminta tolong supaya beliau dapat pulang ke negaranya. Menurut roh itu, makhluk halus di sekitarnya itu bersikap baik dengannya dan melayannya dengan baik. Tetapi, mereka tidak membenarkannya keluar dari rantau itu. Menurut Rainy, roh wanita itu harus digantikan dengan nyawa. Di situ juga terpencil tiada sesiapa mahu masuk menyebabkan roh itu kesusahan. Johanne memberitahu bahawa beliau merindui ibu bapanya namun beliau hanya mampu duduk melihat ibu bapanya datang melawat di tempat itu. Selain itu, beliau tidak dapat mengikuti mereka pulang.

Roh itu memaklumkan bahawa beliau merayu meminta supaya jangan dibunuh oleh pembunuhnya itu. Lelaki yang membunuhnya berpakaian kuning, berkepala botak. Ketika itu, Johanne menceritakan beliau berteriak berdoa memohon Tuhan menolongnya, memohon Buddha menolongnya. Beliau selanjutnya memberitahu bahawa beliau ditolak dan diseret sehingga sampai ke pohon tersebut semasa mengikuti lelaki yang memukulnya itu. Lelaki itu membawanya ke gua tersebut. Kemudian, lelaki itu mengambil batu lalu menghentak mukanya. Mengambil kayu lagi dan memukulnya. Selepas itu, orang-orang yang menonton dan mendengar berita mengenainya membaca doa untuk rohnya menyebabkan rohnya berubah alam dan berada di situ. Beliau diberikan tugas menjadi apsara di situ memakai pakaian wanita Thai zaman purba. Tetapi menurut roh tersebut, beliau mahu pulang ke negara asalnya.

Terdapat satu lagi roh lelaki di situ berkepala botak, mata yang tertonjol dan terikat dengan besi. Roh lelaki itu berpakaian seorang sami. Boy bertanya lagi bagaimanakah rupa roh itu sekali lagi? Rainy menjawab matanya dalam, hidung tidak begitu mancung dan berkulit gelap. Roh itu meminta bantuan dan memberitahu bahawa beliau sudah menyedari kesalahan beliau. Ketika itu, roh tersebut mula berubah menjadi preta (jin) dan membesar. Rainy memberitahu bahawa roh itu mempunyai cacah di lengan kanan dan satu lagi cacah harimau melintang di dadanya dan cacah berbentuk rantai. Roh itu memberitahu bahawa dia berada di bawah pengaruh dadah semasa membunuh wanita itu. Selain itu, beliau bermain judi. Rainy bertanya, kenapakah lelaki ini dibiarkan masuk menjadi sami di biara sedangkan dia sudah membunuh lebih daripada 10 orang? Roh itu juga suka merogol wanita dari negara asing. Semasa pembunuhan, beliau tidak berniat hendak membunuh Johanne tetapi Johanne melawan menyebabkannya naik minyak dan membunuhnya. Roh lelaki itu menjawab juga bahawa beliau merogol Johanne.

Roh Johanne memberikan maklum balas bahawa tindakan lelaki yang merogolnya itu sukar untuk dimaafkan. Hal ini menyebabkan roh wanita itu berduka kerana tidak dapat menerima kenyataan bahawa beliau dirogol. Beliau merupakan seorang wanita Inggeris yang bertatasusila dari keluarga yang baik-baik. Beliau tidak pernah berhubungan jenis dengan sesiapa. Selain itu, roh wanita itu menjawab bahawa beliau suka makan lamb steak dan salad. Beliau selalu merayakan hari Krismas dengan ibu bapa beliau. Keluarga beliau menyediakan ayam turki dan ibunya ingin memberikan hadiah seperti mini cooper kepadanya. Bapa beliau bekerja dalam bidang perundangan. Rainy memberitahu bahawa tugas wanita itu sebagai apsara di pokok itu adalah memandu roh lain pulang ke tempat mereka harus pulang. Tetapi beliau ingin juga pulang ke negara asal beliau. Rainy memberitahu mereka boleh menyimpan roh ini di dalam simpanan sebelum melepaskannya pulang ke negara asal. Rainy memberitahu semasa beliau berkomunikasi itu, roh tersebut berubah bentuk kadang-kala menjadi wanita pelancong dan kadang-kala menjadi apsara pohon. Rainy menyatakan bahawa roh itu boleh pulang jika seseorang berjanji membawanya pulang atau bapanya menelefon kakitangan rancangan itu sendiri memberitahu bahawa rohnya mesti pulang ke sana. Rainy memberitahu bahawa roh itu menunjukkan kepada Boy bahawa beliau akan mendapat tugasan di England. Roh itu akan cuba berhubung secara psikik dengan keluarganya untuk memberitahu bahawa beliau sedang cuba pulang ke negara asal. Boy bertanya sama ada hal tersebut mungkin berlaku? Rainy memberitahu bahawa mereka sampai ke tahap melawat kawasan pembunuhan tersebut disebabkan oleh upacara pengorbanan yang mereka jalankan di wat tersebut sedangkan mereka tidak tahu pun mengenai kes itu sebelumnya. Jadi, kehidupan kita ini sebenarnya tiada apa pun yang pasti.

Sebenarnya, ajal Joanne yang sebenar masih belum sampai lagi semasa saat beliau mati dibunuh. Namun, hal ini berlaku disebabkan oleh aturan hukum alam. Karma lamanya pernah membunuh 'harimau' (panggilan kepada preta tersebut). Jadi, 'harimau' pun kembali membunuhnya namun perbuatan membunuh 'harimau' ini berlaku semasa beliau menjadi seorang sami. Menurut Rainy, walaupun hal tersebut adalah karma lampau namun 'harimau' berada dalam keadaan sebagai seorang sami, seorang bhiksu yang sepatutnya berada dalam keadaan sedar sentiasa. James menyampuk bahawa 'harimau' memang tidak sedar pun kerana beliau ketagihan dadah.

Kakitangan pengambaran ingin melawati kawasan pembunuhan namun Rainy memaklumkan bahawa kawasan itu adalah jurang dalam. Lihat dari jauh pun sudah mencukupi. James bertanya sama ada betulkah 'harimau' menghentak kepala Johanne seperti dalam berita? Rainy memaklumkan bahawa Johanne memberitahu beliau jatuh ke dalam gua dan kepalanya terhentak di lantai. Di situ, beliau menghembuskan nafas beliau yang terakhir. Selain itu, Boy bertanya lagi dalam tempoh 10 hari polis mencari dan ibu bapa Johanne sudah putus harapan menemui mayatnya. Ibu bapanya teringat untuk ke syarikat pelancongan di mana Johanne bermula dan mereka nampak bagpack Johanne. Adakah hal tersebut sebenarnya diaturkan oleh roh Johanne? Rainy menjawab berdasarkan komunikasinya dengan roh, "ya." Pihak polis mengambil masa dua ke tiga hari untuk meneka di manakah lokasi Johanne dengan menggeledah begnya. Mereka menemui kasut hiking dan meneka bahawa Johanne berada di Kanchanaburi. Johanne juga memberitahu bahawa mayatnya tidak dibakar oleh pembunuh. Beliau hanya berdoa semasa akhir hayatnya memohon pertolongan Tuhan dan Buddha. Semasa mayatnya dibaluti dengan kain putih dan diangkat keluar dari jurang gua tersebut di hadapan bapanya, beliau melihat kejadian itu di depan bapanya dan menangis. Beliau meminta tolong namun tiada sesiapa pun yang mendengar atau melihatnya. Semasa keluarganya pergi beliau tidak dapat ikut kerana orang bunian di situ tidak membenarkannya keluar. Kawasan itu adalah kawasan negara orang bunian. Disebabkan oleh doa orang ramai yang membaca berita mengenainya maka roh Johanne masih berada dalam kehidupan yang baik di alam roh. Namun, beliau mahu pulang kerana di situ bukan tempatnya. Walaupun tempoh 10 tahun itu lama dalam dunia manusia, namun dalam alam roh 20 tahun itu cuma tempoh yang sekejap sahaja seperti dua atau tiga hari sahaja. Tetapi setiap saat berlalu pun roh Johanne tidak mahu berada di situ lagi. Beliau mahu pulang ke tempat asalnya.

Sementara itu, roh 'harimau' pula terpaksa kembali ke tempat berlaku pembunuhan demi menerima pembalasan akibat perbuatannya. Boy berasa hairan kerana 'harimau' dihukum mati di penjara dan bukan di situ. Roh 'harimau' sedang berteriak dan menangis sambil memohon ampun. Rohnya menjadi preta yang berteriak meraung dan bukannya jenis preta yang berdiam diri. Rainy nampak mulutnya seperti terdapat kesan terbakar. Selepas itu, pakaian pada roh itu berubah menjadi pakaian tahanan dalam penjara. Tangan dan kakinya diikat dengan rantai besi. Hukum karmanya adalah terkurung di ceruk itu antara 500 ke 1000 tahun. Selepas itu, rohnya akan dinilai semula kerana beliau melakukan kejahatan dalam setiap kelahiran. Dalam setiap kelahirannya itu, beliau membunuh jiwa yang suci. Beliau dijelmakan menjadi preta di dalam kawasan wat kerana karma lamanya. Beliau merompak orang dan mendermakannya kepada wat serta fakir miskin. Disebabkan oleh pahala ini, maka Yamaraja memberikan peluang kepada rohnya namun beliau asyik jatuh ke jalan yang salah. Selain itu, Rainy memberitahu bahawa beliau merujuk roh itu sebagai 'harimau' kerana dia juga berubah rupa menjadi harimau. Roh 'harimau' memohon pahala disedekahkan juga kepadanya.

Roh Johanne memaklumkan bahawa beliau tidak marah kepada 'harimau'. Beliau hanya mahu bertemu ibu dan bapa beliau. Pada masa rakaman dijalankan rohnya terbatas di dalam rantau negara orang bunian di wat tersebut. Ketika bapanya datang, bapanya sudah tidak sihat. Beliau merasakan bapanya mungkin tidak ada lagi. Tetapi beliau masih lagi ingin pulang, kerana itu saja harapan beliau semasa beliau menghembuskan nafas beliau terakhir.

Rainy memberitahu bahawa orang ramai yang menonton boleh menyedekahkan pahala kepada roh Johanne walaupun beliau tidak menganuti ajaran Buddha kerana Johanne juga mempercayai alam ghaib sama seperti penganut Buddha. Selain itu, Johanne juga mengenang jasa ibu dan bapa beliau. Rainy memberitahu bahawa beliau nampak Johanne sentiasa mengingati bapa dan ibunya setiap masa semasa mereka berkomunikasi. Semasa menghembuskan nafas terakhir pun, Johanne berasa bersalah kerana menyusahkan ibu bapanya dan meninggal dunia di negara asing. Boy menambah lagi bahawa baginda Buddha bersabda bahawa, "mengenang jasa ibu dan bapa itu adalah ciri orang yang baik." Selain itu, Rainy menyampaikan pendapatnya bahawa Johanne tidak pernah menyakiti sesiapa, tamak ingin mendapatkan harta orang lain dan menghormati alam ghaib di setiap tempat. Hal ini boleh dilihat pada rupa rohnya sendiri yang berpakaian apsara seperti wanita Thai purba.

Boy, James dan Rainy menekankan bahawa 'kesedaran' perlu sentiasa ada dengan diri kita. Jika kita hilang kewarasan maka kehidupan kita akan jatuh ke dalam kesengsaraan. Begitu juga halnya dengan dadah, janganlah kita mendekati dadah kerana ia menyebabkan kita hilang kewarasan. Selain itu, walaupun kita berbeza bangsa dan agama namun kita masih lagi berharapan dan bersangka baik dengan sesama sendiri.