Kes Pembunuhan Johanne Masheder

 

Gambar di atas adalah gambar Cik Joanne Masheder, 25, seorang graduan British dari Cheshire yang dilaporkan hilang di Thailand pada sekitar tahun 1996 ketika transit di Thailand dari Australia sebelum meneruskan perjalanan pulang ke negara asal beliau di United Kingdom.

Menurut maklumat, Joanne menulis dalam diari beliau bertarikh 10 Disember 1996 bahawa, "Saya ada lagi dua jam sebelum mendaftar keluar pada tengah hari esok. Naree, seorang rakan yang juga guru bahasa Inggeris mencadangkan saya supaya melawat kawasan gua di biara yang berdekatan."

Berabad-abad lamanya, bukit-bukit mencancang dan kelihatan seperti tulang belakang naga dari pandangan atas wilayah Kanchanaburi itu menjadi tempat persemadian para bhiksu. Ia menjadi tempat bhiksu mencari ketenangan di gua-gua serta menarik perhatian pelancong Barat yang ingin mempelajari mesej keamanan ajaran Buddha dan belas kasihan. Namun, di salah satu gua di situ jugalah Joanne ditemui mati.

Mayat Joanne yang mereput teruk itu ditemui tiga minggu selepas kematian beliau di dasar rabung yang menjadi tempat bhiksu dari biara berdekatan membuang sampah. Polis Diraja Thailand memberikan maklumat bahawa Joanne telah ditipu untuk ke gua tersebut sebelum dibunuh di situ. Selain itu, Yodchart Suaphoo, suspek kes tersebut juga adalah seorang penagih dadah jenis amphetamine. Dia menjadi bhiksu di situ selepas menjalani hukuman penjara selama dua setengah tahun akibat kes rogol. 

 

Gambar di atas adalah gambar En. Yodchart Suaphoo, 21, bekas sami di Wat Tham Khao Poon, wilayah Kanchanaburi yang ketika itu disyaki telah membunuh Joanne Marsheder di sebuah gua di situ. Pihak polis menunjukkan cacah harimau melintang dari rusuk kiri ke dada kanannya. Beliau telah disabitkan bersalah dan dihukum mati.

Dalam pengakuannya, Suaphoo memberitahu polis bahawa, "Dia berseorangan. Dia seorang gadis yang sangat cantik. Saya membawanya mengelilingi gua pertama dan kemudian menawarkan untuk menunjukkan kepadanya gua-gua yang berdekatan. Dia pun mengikuti saya. Kami di atas sebuah gua dan memandang ke bawah lalu saya terus berkata kepadanya - 'tengok sini!' Gadis itu melihat ke bawah dan saya menolaknya, merampas beg dan kameranya. Dia jatuh 30 kaki ke bawah. Saya turun juga ke bawah. Gua tersebut hanya dipenuhi sampah-sarap. Saya menguis mayatnya ke tepi supaya mayatnya terlindung dari ruang cahaya di atas dan kemudian naik semula ke atas. Dia hanya ada seikit wang, lebih kurang 500 bhat (12 pounds) dan sebuah kamera itu sahaja."

Kenyataan polis menyebut bahawa tiga hari sebelum penemuan mayat gadis tersebut, bhiksu ini juga telah merogol Inge Holece, seorang pelancong Austria. Wanita tersebut menulis kepada Bangkok Post, "Tolong beri perhatian serius kepada hal ini. Saya telah terlibat dalam keganasan dan saya pasti bahawa ketika itu nyawa saya berada dalam bahaya. Saya tidak mahu hal sebegini berlaku lagi kepada orang lain." Ketika surat wanita ini diterbitkan dalam akhbar, keadaan sudah pun terlambat kerana Joanne sudah pun terbunuh dan ibu bapa Joanne iaitu Stuart dan Jackie Masheder pula pastilah tidak mengetahui sebab kenapa anak gadis mereka tidak pulang semasa Krismas. Surat amaran wanita Austria ini mungkin terlambat kerana Joanne sudah pun mati ketika itu namun ia mengandungi gambaran mengenai bhiksu yang merogolnya dan membantu polis mengenalpasti identiti pembunuh Joanne.

Apabila Joanne tidak pulang ke Cheshire semasa Krismas, ibu bapanya yang berusia 49 tahun masing-masing mengambil penerbangan ke Thailand mencarinya. Mereka mencari anak perempuan mereka termasuklah bertanya kepada orang ramai yang berjemur di resort-resort pantai di Thailand sambil menunjukkan gambar anak perempuan mereka. Gambar terakhir anak perempuan mereka yang diterima adalah beberapa hari sebelum beliau ditemui terbunuh iaitu gambar beliau menaiki gajah dan menjelajahi hutan di Chiangmai. Stuart dan Jackie turut menerbitkan gambar anak perempuan mereka itu di akhbar-akhbar Thailand. Naree, wanita yang berkawan dengan Joanne kemudian melihat gambar orang hilang tersebut dan menghubungi polis. Polis menemui basikal yang disewa oleh Joanne. Ia masih lagi berada di Wat Tham Khao Poon. Polis menggeledah kuti-kuti dan halaman biara tersebut lalu menemui pasport Joanne yang sudah terbakar, diari beliau serta tiket penerbangan pulang ke United Kingdom. 

Kenyataan yang dibuat dalam sidang akhbar yang dirakamkan oleh AFP itu bermaksud, "Perbuatan ganas dan keji ini telah merosakkan nama kerajaan Thailand. Tindakan sebegini tidak selari dengan seorang bhiksu yang dihormati oleh masyarakat. Perbuatan ini adalah perbuatan seorang individu yang mempergunakan kain kuning untuk melakukan kejahatan." - Jen. Pochana Boonyachinda, Pengarah Polis Thailand

Pandangan Tim McGirk

Pembunuhan pengembara beg galas ini bukan sahaja merosakkan nama baik Thailand sebagai salah satu destinasi pelancongan yang selamat di Asia. Ia turut mendedahkan skandal yang berlarutan sejak beberapa lama dan menggoncang keimanan masyarakat Thailand terhadap institusi sangam yang suatu ketika dahulu sangat dihormati.  Masyarakat Thailand yang beragama dikejutkan dengan betapa tercemarnya beberapa orang bhiksu dalam kalangan 200,000 orang bhiksu di seluruh negara itu.

Bhiksu mengangkat sumpah zuhud dan salah satu daripada sumpah mereka adalah mengelakkan daripada membunuh makhluk yang bernyawa. Ajaran Buddha diamalkan oleh 95% masyarakat Thai. Setiap lelaki diharuskan menjalani semadhi dan keluar dari masyarakat awam sekurang-kurangnya beberapa bulan dengan mencukur botak kepala mereka, mendapatkan dana dan hidup secara sederhana. Baca lanjut di sini.  

Gambar-gambar di atas dipetik dari laman sesawang Behind the News from the Orient oleh Andrew Drummond bertarikh 8 Januari 2016.

Arkib Berita

  • Thailand: Monk Murderer of UK Tourist to face Death Penalty, AP Archive, 25 Julai 2015 (Youtube)
  • Pembunuhan yang mengejutkan Thailand, the Herald News, 16 Januari 1996 terjemahan dalam bahasa Melayu (online)
  • Tim McGirk, Thailand's New Temptation, the Independent, 23 Oktober 2011 (online)