Menurut Puan Kanokmongkol, "Kita mengenali istilah bahan purba ini baru-baru ini sahaja. Sesungguhnya, bahan purba atau nilai bahan purba ini dilihat dari segi sejarahnya, dari segi arkeologi dan kesenian atau pun nilainya itu terletak pada pada pandangan kelompok yang menggemari barangan antik."
Ujarnya lagi, "Konsep bahan purba ini sebenarnya dikenali sejak zaman Rama V lagi yang mana bahan antik di negara Thai dikenali dalam bahasa Thai sebagai barang lama. Semestinya, barang lama itu bukannya barang yang baru. Ia bermaksud, barang yang kita tidak akan simpannya lagi di rumah. Barang sebegini akan diletakkan di biara yang ditinggalkan atau di hutan. Tiada sesiapa pun yang akan menyimpan barang sebegini, barang yang tidak sempurna. Contohnya, kepala Buddha saja, tiada siapa pun akan menyimpannya di rumah. Sebaliknya ia akan ditinggalkan di biara yang tidak digunakan lagi."
Lanjutnya lagi, "Pada ketika itu, orang Barat memandang bahawa bahan purba ini sebagai bukti sejarah. Maka, mereka mengenali istilah 'bahan purba' ini dan melihatnya sebagai karya seni yang tidak pernah dilihat oleh mereka di negara asal. Jika mereka membawa bahan-bahan tersebut dan mempertontonkannya kepada orang ramai maka ia akan dianggap sebagai barangan yang berharga. Dari sinilah munculnya nilai barangan lama tersebut."
Apabila barangan tersebut boleh dijual, maka penduduk pun akan menjualnya bagi mendapatkan keuntungan. Dari sini, kita akan dapati bahawa bahan-bahan tersebut berada di luar negara. Maka, orang Thai pada zaman ini merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk menuntutnya kembali ke negara Thai.