Terdapat bukti wujudnya penempatan manusia yang berterusan di rantau Thailand yang moden sejak 20,000 tahun yang lalu hinggalah kini. Bukti terawal sekali adalah wujudnya penanaman padi sejak tahun 2,000 SM. Kawasan-kawasan yang kini membentuk Thailand moden terlibat dalam Jalan Maritim Jed seperti yang disahkan oleh penyelidikan arkeologi.
Jaringan perdagangan wujud sejak 3,000 tahun lalu iaitu antara 2,000 SM hingga 1,000 M. Tembaga pula muncul pada 1,250 hinggalah 1,000 SM. Tapak arkeologi Ban Chiang di timur laut Thailand kini menjadi lokasi terawal yang dikenali setakat ini sebagai pusat penghasilan tembaga dan gangsa di Asia Tenggara. Bijih besi pula muncul sekitar tahun 500 SM.
Selain itu, kerajaan Funan merupakan kerajaan yang pertama dan berkuasa muncul di Asia Tenggara iaitu sekitar abad ke-2 SM. Dalam pada itu, orang Mon mengasaskan kerajaan-kerajaan kecil contohnya seperti kerajaan Dvaravati dan kerajaan Haripunchai dalam rantau Thailand moden pada sekitar abad ke-6 masihi. Orang Khmer seterusnya membangunkan empayar Khmer yang berpusat di Angkor pada abad ke-9 masihi. Di selatan pula, kerajaan Tamralinga, iaitu negara-kota orang Melayu muncul sebagai kerajaan yang menguasai perdagangan di Selat Melaka pada abad ke-10 masihi. Semenanjung Indochina sangat-sangat terpengaruh dengan kebudayaan dan agama yang turun dari rantau India purba sejak dari zaman kerajaan Funan hinggalah ke zaman empayar Angkor.
Orang Thai atau suku kaum Tai-Kadai dicirikan dengan akar linguistik yang sama. Rekod sejarah China pada awalnya menyebut mengenai orang Tai pada abad ke-6 SM. Dalam pada banyak sekali tanggapan mengenai asal-usul orang Tai, David K. Wyatt, sejarawan mengkhusus kepada Thailand membahaskan bahawa nenek moyang orang Tai-Kadai yang kini tinggal di negara Laos, Thailand, Myanmar, India dan China berasal dari kawasan Điện Biên Phủ di Vietnam moden antara abad ke-5 masihi dan ke-8 masihi.
- Persekutuan Negara Kota Tai Awal, 691 SM - 13 M
Menurut Thailand: History karya Jane E. Keyes et. al. (2018) terbitan Encyclopaedia Brittanica, orang Thai mula berhijrah ke kawasan Thailand moden secara beransur-ansur dari abad ke-6 masihi hinggalah abad ke-11 masihi. Pada ketika itu, orang Mon dan orang Khmer telah pun menghuni beberapa rantau di situ. Oleh itu, kebudayaan Thai juga dipengaruhi oleh kebudayaan India purba, Mon purba dan Khmer purba. Orang Tai bercampur gaul dengan pelbagai kelompok etnik serta budaya di rantau itu hingga muncullah orang Thai moden. Bukti genetik mencadangkan bahawa etnolinguistik tidak semestinya menggambarkan suku kaum asal seseorang di Thailand. Hal ini disokong oleh kenyataan Sujit Wongthes dalam rencana berjudul "ชนชาติไทย 'ไม่ใช่' คนไทย โดย สุจิตต์ วงษ์เทศ" terbitan akhbar Matichon pada 18 October 2023 yang menyebut, "orang Thai bukanlah kelompok bangsa atau suku kaum tetapi adalah satu kelompok kebudayaan."
- Kerajaan Orang Mon dan Lavo, 5 M - 13 M
- Kerajaan Sukhothai, 1238 - 14 M
- Kerajaan Sri Ayutthaya, 1351 - 1767
- Kerajaan Thonburi, 1767 - 1787
- Kerajaan Rattanakosin dan Permodenan Siam, 1782 - 1932
Menurut George Coedes, sejarawan dari Perancis, "orang Thai pertama kalinya terlibat dalam sejarah India Jauh pada abad ke-11 masihi dengan rujukan hamba syam atau tawanan perang dalam epigrafi kerajaan Champa," dan "pada abad ke-12 masihi di ukiran timbul Angkor Wat," yang mana, "mereka adalah sekelompok pahlawan" yang dijelaskan sebagai syam walaupun rekod pihak Champa tidak menyatakan dengan jelas asal usul syam atau apakah kelompok bangsa puak syam ini.
Maka, asal usul dan suku kaum puak Syam ini masih lagi kabur, dengan sesetengah sastera mencadangkan bahawa syam itu merujuk kepada orang Shan, orang Bru atau orang Brau. Walau bagaimanapun, sumber dari daratan Asia Tenggara dari sebelum abad ke-14 masihi pada dasarnya menggunakan perkataan syam ini sebagai etnonim atau nama suku kaum bagi merujuk kepada orang yang mengamalkan kebudayaan yang berbeza daripada kebudayaan Khmer, Champa, Pagan, atau Mon. Namun, hal ini bertentangan pula dengan sumber-sumber dari China yang menggunakan perkataan Xian atau Siam ini sebagai toponim atau nama rujukan geografi sesuatu tempat.