Chit Phumisak, sejarawan Thailand menyebut bahawa, seperti yang semua orang pun tahu, orang Thai moden sebelum ini dikenali juga dengan panggilan orang Siam sebelum nama negara mereka diubah menjadi Thailand pada pertengahan abad ke-20 masihi.
Buku berjudul, "Reconstructing the Human Genetic History of Mainland Southeast Asia: Insights from Genome-Wode Data from Thailand and Laos" (2021) pada muka surat 3469 hingga 3477 menyatakan bahawa beberapa penyelidikan genetik yang diterbitkan dalam abad ke-21 mencadangkan yang orang Siam yang berasal dari Thai tengah berkemungkinan mempunyai asal usul suku bangsa Mon kerana profil genetik mereka nampak lebih rapat dengan genetik etnik Mon di Myanmar berbanding dengan etnik Tai di selatan China. Mereka berkemungkinan diserap menjadi bangsa Tai melalui pembauran kebudayaan selepas ketibaan orang Tai dari utara sekitar abad ke-8 hingga abad ke-10 masihi. Hal ini dicerminkan dalam bahasa pertuturan kerana separuh daripada perbendaharaan kata dalam bahasa Thai Tengah sebenarnya diterbitkan dari, atau dipinjam dari bahasa Mon, bahasa Pali dan bahasa Sanskrit. Lebih-lebih lagi hikayat Jinakalamali dari simpanan Kerajaan Lanna juga merujuk rantau yang dihuni oleh bangsa Mon iaitu negara Haripuñjaya dalam Kerajaan Dvaravati sebagai Shyam Pradesh atau Benua Siam. Rujukan ini menunjukkan bahawa orang Siam purba dan orang Mon di Thailand tengah berkemungkinan berasal dari kelompok etnoliguistik yang sama.
Rekod terawal yang menyebut mengenai orang Siam adalah prasasti yang ditemui di beberapa lokasi seperti berikut:
- Prasasti Angkor Borei dari zaman Kerajaan Funan (K. 557 dan K. 600) bertarikh 661 M, nama hamba yang disebut sebagai "Ku Sayam" bermaksud, "hamba wanita Siam" yang mana ku bermaksud hamba wanita pada zaman Angkor;
- Prasasti Takeo (K. 79) yang dipahat pada tahun 682 masihi semasa zaman pemerintahan Raja Bhavavarman II dari Kerajaan Chenla turut menyebut mengenai bangsawan Siam berbunyi, "Sāraṇnoya Poña Sayam," yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai, "bendang kurniaan poña (bangsawan) yang digelar sebagai Sayam (Siam)."
Entiti politik Mon, yang juga termasuklah Haripuñjaya di utara dan beberapa negara-kota di timur laut, dikenali secara kolektif sebagai Dvaravati. Walau bagaimanapun, negeri-negeri Mon Siam dan Mon Lavo ini kemudian disatukan melalui perkahwinan diraja hingga membentuk Kerajaan Sri Ayutthaya pada pertengahan abad ke-14 masihi, manakala di barat daya di daerah Isan, berpusat di Phanom Rung dan Phimai, menyembah berbakti kepada benua Siam Ayutthaya semasa zaman Raja Borommarachathirat II (1424 - 1448). Baki negeri kecil di Isan kemudian berkembang menjadi Kerajaan Lan Chang sekitar tahun 1353 selepas kota berkembar iaitu Mueang Sua di Luang Prabang dan Viengchan Viengkham di Vientiane bebas selepas kemangkatan Raja Ramkhamhaeng dari Kerajaan Sukhothai.
Menurut prasasti Wat Kud Tae (K. 1105), bertarikh abad ke-7 masihi, semasa zaman di mana entiti timur bangsa Mon, iaitu Lavi masih lagi kuat dipengaruhi oleh Kerajaan Chenla, orang Siam Mon di sebelah barat pula telah masuk ke ikatan perkahwinan diraja dengan Kerajaan Chenla yang mana Putera Sri Chakatham dari negeri Sambhuka (kini dalam wilayah Ratchaburi di Thailand moden), berkahwin dengan seorang puteri kepada Raja Isanavarman I hingga dua mandala menjadi sekutu.
Selepas Kerajaan Chenla menyerang dan menghancurkan Kerajaan Funan, mereka memindahkan ibu kota ke Angkor. Dari situ, tentera Siam Mon dan tentera Angkor membuat serangan ke atas kota Vijaya dalam Kerajaan Champa pada tahun 1210 semasa pemerintahan Raja Jayavarman VII, seperti yang direkodkan dalam prasasti Cho-Dinh (C. 3).