Dari segi teori, orang yang bertutur bahasa Tai-Kadai muncul seawal abad ke-12 SM di tengah lembangan Sungai Yangtze di Selatan China. James R. Chamberlain (2016) dalam "Kra-Dai and the Proto-History of South China and Vietnam" dari Journal of Siam Society, sesetengah kumpulan orang Tai-Kadai ini berhijrah jauh ke selatan lagi di wilayah Guangxi.
Walau bagaimanapun, selepas beberapa pergelutan berdarah menentang pengaruh China di Guangxi dari tahun 333 SM hingga abad ke-11 masihi, beratus-ratus orang Ta-Kadai telah terbunuh. Oleh itu, mereka mengambil keputusan berhijrah ke barat daya di sebelah selatan sepanjang sungai serta melintasi laluan rendah masuk ke pergunungan di utara Asia Tenggara serta lembah sungai di wilayah Assam di India moden. Sesetengah bukti pula menunjukkan bahawa nenek moyang orang Tai-Kadai berhijrah secara besar-besaran ke barat daya di selatan keluar dari wilayah Yunnan berikutan penaklukan kota Dali oleh dinasti Yuan (suku kaum Mongol) namun bukti ini tidak diterima oleh orang ramai.
Orang Tai mengalahkan banyak puak orang asli di daratan Asia Tenggara seterusnya muncul sebagai kuasa baru di rantau tempat tinggal baru mereka. Beberapa negara-kota Tai juga diasaskan bertaburan dari Điện Biên Phủ di timur laut Vietnam moden dan di tanah tinggi Asia Tenggara hinggalah ke timur laut India.
Menurut lagenda Simhanavati yang seperti yang terdapat dalam beberapa hikayat, negara-kota pertama Tai di utara Thailand moden iaitu negara-kota Simhanavati, diasaskan sekitar abad ke-7 masihi. Walau bagaimanapun, beberapa penyelidikan geologi dan arkeologi menemui bahawa, ibu kota negara-kota ini iaitu Yonok Nahaphan telah wujud dari 691 SM hingga ke 545 M, bertepatan secara kasarnya dengan pengasasan negara etnik Shan, iaitu negara kota Tai lain yang wujud dalam bahagian di timur laut Myanmar moden serta Mueang Sua di Luang Prabang ke timur. Selepas negara kota Simhanavati tenggelam di dasar Tasik Chiang Saen kerana gempa bumi pada tahun 545 masihi, mereka yang terselamat telah mendirikan semula asas negara baru di Wieng Prueksha, sebuah kerajaan yang bertahan selama 93 tahun.
Sebagai tambahan kepada negara kota Simhanavati, terdapat negara kota lain di utara yang kemungkinannya berkaitan dengan orang Tai, seperti Ngoenyang, diasaskan juga oleh Lavachakkarat, pewaris dari Simhanavati pada tahun 638 masihi. Negara kota ini juga mempunyai pusat di Wieng-Prueksha yang kini berada dalam daerah Mae Sai di wilayah Chiang Rai, Thailand. Ibu kotanya kemudian berpindah ke Chiangmai pada tahun 1262 oleh Raja Mangrai, yang dianggap sebagai asas kepada Kerajaan Lanna. Raja Mangrai menyatukan kawasan di sekitar negara baginda dan menghasilkan satu jaringan negeri melalui perikatan politik dari timur ke utara Sungai Mekong. Dinasti baginda memerintah Kerajaan Lanna berterusan hingga dua abad lamanya. Kerajaan Lanna kemudian berkembang hingga ke selatan dan menakluki juga negara-kota orang Mon iaitu negara Haripunchai yang berada dalam Kerajaan Dvaravati pada tahun 1292.
Pada lewat abad ke-10 masihi, orang Tai mula berhijrah jauh lagi ke selatan hingga ke utara Thailand tengah yang sekarang. Sekitar tahun 1100-an, beberapa kota dalam kawasan ini seperti Songkwae, Sawankhalok dan Chakangrao, diperintah oleh orang Tai dan akhirnya melancarkan beberapa serangan ke atas negara-kota Lavo yang diperintah oleh bangsa Mon. Pada ketika itu, negara-kota Lavo berada di bawah pengaruh Kerajaan Chenla hingga abad ke-7 masihi. Kejatuhan negara-kota Lavo ke dalam pengaruh orang Tai mewujudkan sebuah negara yang merdeka iaitu Kerajaan Sukhothai pada tahun 1238. Kerajaan ini terletak di hulu Sungai Chao Phraya.
Konflik terawal antara orang Tai serta puak suku kaum yang wujud sebelum ketibaan mereka itu direkodkan pada pertengahan abad ke-4 masihi apabila Raja Pangkharat, pemerintah Simhanavati, digulingkan dari kedudukan baginda di Yonok oleh Raja Khom dari Umongasela, kini terletak di Fang. Raja Pangkharat melarikan diri ke Vieng Si Tuang yang kini dikenali sebagai Wiang Phang Kham di daerah Mae Sai. Baginda perlu menghantar ufti ke Yonok setiap tahun, hinggalah anak beliau, Phrom, merampas kembali Yonok dan menghalai Raja Khom keluar dari situ.
Phrom kemudian berderap bersama tentera beliau ke selatan lalu menakluki Chakangrao dari musuh. Beliau mengasaskan kota Songkwae. Sesetengah sejarawan mencadangkan bahawa Lopburi, ibu kota Lavo, pernah juga ditawan oleh Phrom sekali.
Menurut Phra Borihan Thepthani (1953) dalam Thai National Chronicles: the history of the nation sicne ancient times (dalam bahasa Thai) menyebut bahawa, orang Tai seterusnya berhubungan kekeluargaan pula dengan orang Mon Siam melalui perkahwinan diraja.