Ibu kota Siam dan banyak rantau jajahannya jatuh dalam kancah kekacauan selepas peperangan. Ibu kota lamanya ditawan oleh tentera Burma yang berpangkalan di situ dengan lima orang pemimpin Siam mengisytiharkan ketuanan mereka di atas rantau mereka sendiri iaitu di Sakwangburi, Phitsanulok, Pimai, Chantaburi dan Nakhon Si Thammarat.
Chao Tak selaku panglima yang perkasa ketika itu terus menakluki semua rantau yang memberontak. Pertama sekali, baginda menyerang Chanthaburi dan menjadikannya sebagai pangkalan melatih tentera serta mengumpulkan sumber bekalan ketenteraan baginda di situ. Dari Chanthaburi, Chao Tak menghantar kapal ke hulu Sungai Chao Phraya bagi merampas kubu Thonburi. Pada tahun yang sama juga, Chao Tak berjaya merampas Sri Ayutthaya dari tentera Burma. Baginda mencapai kejayaan tersebut hanya dalam masa tujuh bulan sahaja selepas kejatuhan ibu kota Siam.
Chao Tak seterusnya memahkotakan diri baginda dengan gelaran Thaksin lalu baginda mengisytiharkan Thonburi sebagai ibu kota sementara Siam dalam tahun yang sama. Baginda juga segera menundukan panglima-panglima Siam yang lain. Selanjutnya, angkatan perang Thaksin terlibat dalam peperangan dengan Burma, Lao dan Kemboja. Baginda berjaya menghalau keluar tentera Burma dari Lanna pada tahun 1755, menakluki Vientiane pada tahun 1778 dan cuba melantik raja boneka Siam di Kemboja pada tahun 1770an.
Sebelum kejatuhan Kerajaan Thonburi ini berlaku satu rampasan kuasa yang kononnya disebabkan oleh Thaksin "tidak waras" dan baginda serta anakanda baginda semuanya dihukum oleh rakan rapat baginda, Panglima Chao Phraya Chakri. Panglima Chakri seterusnya menjadi pengasas kepada dinasti Chakri dan menjadi raja pertama yang mengasaskan Kerajaan Rattanakosim di Siam pada 6 April 1782.