Menurut versi asal usulnya yang diterima meluas, Kerajaan Sri Ayutthaya ini muncul dari saki baki Kerajaan Lavo dan Suvarnabhumi dengan Uthong sebagai rajanya yang pertama. Kerajaan Sri Ayutthaya berasal dari daerah-daerah kecil yang memerintah sendiri serta wilayah ufti yang menyatakan taat setia kepada Raja Ayutthaya di bawah sistem mandala. Peluasan kuasanya yang awal berlangsung melalui penaklukan dan perkahwinan kerabat diraja.
Sebelum penghujung abad ke-15 masihi, Sri Ayutthaya telah menundukkan Empayar Angkor sebanyak tiga kali dan menghancurkan ibu kotanya. Selepas itu, Sri Ayutthaya naik menjadi kuasa besar di rantau daratan Asia Tenggara menggantikan Angkor. Oleh sebab Kerajaan Sukhothai banyak masuk campur dalam urusan Sri Ayutthaya maka ia pun menjadi negeri naungan Sri Ayutthaya dan akhirnya disatukan terus dalam kerajaan Sri Ayutthaya.
Selanjutnya, Raja Borommatrailokanat mewujudkan pembaharuan birokrasi yang berlangsung hingga abad ke-20 masihi. Baginda mencipta sistem hierarki sosial yang digelar sebagai sakdina yang mana lelaki awam dikerah sebagai buruh paksa selama enam bulan dalam setahun. Kerajaan Sri Ayutthaya sangatlah berminat dengan Semenanjung Tanah Melayu namun ia gagal menakluki Kesultanan Melaka yang disokong oleh Dinasti Ming dari benua China.
Hubungan dan perdagangan Sri Ayutthaya dengan orang Eropah bermula seawal abad ke-16 masihi apabila delegasi Alfonso de Albuquerque tiba sebagai duta raja Portugal di Siam pada tahun 1511. Portugal menjadi sekutu Siam pada ketika itu dan memajakkan askar mereka kepada Raja Ramathibodi II. Ketibaan orang Portugis ini kemudian diikuti dengan ketibaan orang Perancis, Belanda dan Inggeris pada abad ke-17 masihi.
Persaingan untuk berkuasa di Chiangmai dan membebaskan orang Mon menyebabkan Sri Ayutthaya terlibat dalam peperangan dengan Empayar Burma. Beberapa peperangan dengan dinasti Toungoo yang memerintah Burma bermula pada tahun 1540an akhirnya berakhir dengan ibu kota Sri Ayutthaya ditakluki oleh Burma pada tahun 1570. Sri Ayutthaya kemudian jatuh menjadi naungan Burma hinggalah Raja Naresuan mengisytiharkan kemerdekaan Siam pada 1584.
Sri Ayutthaya kemudian cuba menambah baik hubungannya dengan kuasa Eropah dalam beberapa zaman. Sri Ayutthaya menjadi kota kosmopolitan semasa zaman Raja Narai (1658 - 1688) yang mana beberapa pengembara Eropah mencatitkan bahawa Sri Ayutthaya menjadi salah satu kuasa besar di Asia, bersama dengan India dan China.
Walau bagaimanapun, pengaruh Perancis yang semakin besar pada zaman Raja Narai itu menimbulkan semangat kebangsaan dalam kalangan orang Siam hingga akhirnya membawa kepada Revolusi Siam pada tahun 1688. Namun, hubungan keseluruhan Siam dengan Perancis masih lagi baik kerana mubaligh Katolik dari Perancis masih lagi aktif menyebarkan injil di dalam benua Siam.
Selepas beberapa pertumpahan darah akibat pergelutan antara dinasti di Siam, maka Sri Ayutthaya akhirnya memasuki "zaman keemasan" Siam iaitu zaman keamanan yang berterusan pada separuh penggal kedua abad ke-18 masihi. Zaman itu menjadi zaman kegemilangan kesenian, kesusasteraan dan pembelajaran di Siam. Jarang sekali berlaku perang antara Siam dengan negara asing selain daripada konflik dengan pembesar Nguyễn dari Annam dalam usaha untuk menguasai Kemboja bermula pada tahun 1715.
Lima puluh tahun terakhir kerajaan ini menyaksikan krisis pewarisan takhta yang berdarah di mana berlakunya pembersihan pembesar istana serta panglima yang berkemampuan sepanjang pemerintahan raja-rajanya. Pada tahun 1765, gabungan 40,000 orang angkatan tentera Burma menakluki Siam dari utara dan barat. Burma di bawah dinasti Alaungpaya yang baru mula bangkit menjadi kuasa besar di daratan Asia Tenggara menjelang tahun 1759. Selepas 14 bulan peretempuran, tembok ibu kota Sri Ayutthaya runtuh dan kotanya dibakar hangus pada April 1767.