Memaparkan catatan dengan label travelog. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label travelog. Papar semua catatan

Isnin, 26 Disember 2016

Bahasa Siam di Kedah

Disebabkan aku sudah membuka rumah baru, maka bahan-bahan lama perlulah diimport kembali ke sini supaya aku boleh menutup rumah lama. Untuk makluman pihak tuan dan puan yang budiman, bahasa Siam yang dituturkan di negeri Kedah Darul Aman sebenarnya adalah sama saja dengan bahasa Thai loghat Selatan yang dituturkan di wilayah Selatan Thailand sebelah pantai barat. 

Bahasa Siam loghat ini dituturkan oleh kedua-dua penganut agama Islam dan juga penganut ajaran Buddha yang berketurunan Siam di negeri aku itu.  Pada asalnya loghat ini berasal dari wilayah Nakorn Sri Tammarat. Kemudian, penduduk berdekatan mula belajar bahasa Siam ini sehingga ia menjadi lingua franca bagi pelbagai kaum di sebelah selatan Thailand di Segenting Kra.

Taburan penutur bahasa Siam di sebelah Kedah adalah sekitar daerah Kubang Pasu, Kota Setar terutamanya mukim Pokok Sena, Baling dan Padang Terap. Bahasa Siam ada juga dituturkan di sebelah Perlis di Kuala Perlis, Wang Klian, Chuping dan sedikit di kawasan bandar diraja, Arau kerana terdapat felda dan felcra yang dibuka oleh peneroka berketurunan Melayu dan juga berketurunan Siam (Muslim) yang tinggal sekitar kawasan sempadan Songkhla dan Padang Besar.

Kosa Kata Baling

Sumber dan pengalaman: akses di sini.
Dokumentasi audio-visual: Video Cakap Bahasa Siam di Tualang, Kedah

Kosa kata yang ada itu sebenarnya terhad sahaja. Ada banyak lagi dalam senarai dan mungkin aku akan tambahkan secara umum sahaja apabila aku lapang atau teringat. Pada masa kini, aku sebenarnya terpaksa belajar semula bahasa Thai loghat Bangkok supaya aku boleh masuk semula ke Thailand. Menyampah tinggal di sebelah Malaya yang serba 'canggih' dan 'maju' ini.

Aku berharap agar projek kecil ini sedikit sebanyak memberi maklumat kepada pelajar-pelajar bahasa Thai di Malaysia yang ingin menambahkan perbendaharaan kata atau mendalami loghat bahasa Thai Selatan. Sila klik pautan di atas untuk mengakses kosa kata.

Terima kasih.

Happy Buffalo
20 Februari 2016

Selasa, 30 Ogos 2016

Bercuti di Tiga Negeri


Sebagai catitan, aku sebenarnya merancang untuk bercuti ke Phuket di Thailand pada cuti Hari Raya Aidilfitri yang lepas. Kononnya nak bertemu lepaklah dengan rakan-rakan sosial media yang kebanyakannya merupakan rakyat Thailand sambil mengambil catitan tempat-tempat yang sempoi untuk perjalanan masa hadapan.

Aku sudah pun menempah dan membeli tiket dari syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia. Hotel murah semua sudah siap ditempah dengan menggunakan laman web booking.com. Mana tahu penerbangan itu dibatalkan sesuka hatinya oleh syarikat tersebut. Hangatnya hati aku sehingga aku meroyan di akaun syarikat celaka tersebut. Oleh sebab aku memang sudah memohon cuti yang merangkumi masa 10 hari maka sia-sialah susah payah aku minta bos-bos mengecop borang cuti aku kalau aku hanya terperuk menunggu reput dalam rumah sahaja.

Oleh itu, aku pun membeli tiket bas dan ingin cuba menggunakan pengangkutan bas ekspress melalui jalan darat untuk ke Thailand. Semasa balik dari pejabat, aku mendekati kaunter tiket bas ekspress dan membeli tiket untuk ke Hadyai. Aku tak fikir banyak lagi cuma aku beli sahaja tiketnya dulu. Kata orang, kalau kita tak cuba maka kita tak tahu. Harga tiket tersebut cuma RM63.00 dan bas yang aku akan ambil nanti adalah bas Konsortium.

Tanpa berlengah masa lagi, aku senaraikan sahaja catitan aku yang boleh diklik untuk dibaca semula seperti berikut:

8 Julai 2016
9 Julai 2016
10 Julai 2016
11 Julai 2016
12 Julai 2016
13 Julai 2016

Tak sempat hendak mencatitnya dalam diari tetapi aku ada ambil sedikit gambar. Seorang-seorang sahaja terpaksalah aku selfie atau gunakan apa sahaja bahan yang boleh membuatkan telefon atau kamera murah aku itu berdiri tegak.