Bahagian ini ditulis pada 20 Februari 2016 di blog lama. Ia kemudian diimport ke mari pada 26 Disember 2016 dan bahan-bahan di sana terpaksalah juga dipindahkan ke sini selepas penutupan blog lama. Secara umumnya, Kedah dari segi sejarah pernah menjadi negeri suaka atau protectorate kerajaan Siam dan berada di rantau pantai barat di selatan benua Siam. Jadi, bahasa Siam yang dituturkan di negeri Kedah adalah bahasa Siam yang sama dengan bahasa Siam di rantau Selatan Thailand pada hari ini.
Beberapa daerah di Kedah mempunyai penutur bahasa Siam yang terdiri daripada orang Melayu dan orang Siam. Penganut agama Islam mempunyai pertalian dengan orang Melayu manakala penganut Buddha pula dikenali sebagai orang Siam sahaja. Oleh kerana berlakunya perkahwinan campur dan hubungan persemendaan maka garis pembatas ini menjadi kabur dan sesiapa sahaja boleh menjadi orang Siam tanpa mengira agama mereka.
Pada awalnya, bahasa Siam loghat Selatan dituturkan di sekitar Nakorn Si Thammarat. Seterusnya penduduk berdekatan pun mula bercakap dalam bahasa ini sehingga ia menjadi lingua franca atau bahasa perhubungan kaum di rantau Selatan Siam di Segenting Kra. Bagi negeri Kedah, taburan penutur bahasa Siam adalah di sekitar Kubang Pasu, Kota Setar terutamanya di sekitar mukim Pokok Sena, Baling, dan Padang Terap. Bahasa Siam juga dituturkan di negeri Perlis yang merupakan jiran Kedah di sebelah utaranya contohnya seperti di Kuala Perlis, Wang Klian, Chuping dan sedikit di Arau di mana felda atau felcra dibuka oleh peneroka yang berketurunan Melayu atau berbangsa Siam yang menganuti agama Islam dari kawasan Padang Besar yang bersempadan dengan wilayah Songkhla.
Berikut adalah contoh perbendaharaan kata dari daerah-daerah Kedah dan Perlis untuk kegunaan penggemar subjek bahasa Siam:
- Perbendaharaan Kata Siam di Baling
- Perbendaharaan Kata Siam di Jitra
- Perbendaharaan Kata Siam di Changloon
- Perbendaharaan Kata Siam di Kodiang
- Perbendaharaan Kata Siam di Pendang
- Perbendaharaan Kata Siam di Kuala Perlis
Perbendaharaan kata yang direkodkan di sini sebenarnya adalah terhad. Terdapat banyak lagi senarai yang mungkin akan ditambahkan pada masa hadapan apabila aku teringat atau kelapangan. Pada masa kini, aku sendiri terpaksa mempelajari semula bahasa Siam loghat Bangkok supaya aku dapat berhubung dengan warganegara Thailand untuk pelbagai urusan.
Aku berharap semoga projek yang kecil ini sedikit sebanyak memberikan maklumat kepada peminat bahasa Siam atau bahasa Thai di Malaysia, Singapura dan Brunei yang berminat untuk mendalami bahasa Siam loghat Selatan. Sekian, terima kasih.