Sarjana mendedahkan bahawa prasasti di Wat Inthararam Worawiharn di daerah Thonburi, Bangkok menggambarkan bahawa negara kota Ayothaya telah wujud sebelum kewujudan kerajaan Sri Ayutthaya dan ia bukan hanya sekadar kota lagenda atau pun khayalan.
Dalam kes di Wat Inthararam Worawiharn di mukim Bang Yi Ruea, daerah Thonburi, satu prasasti ditemui di bawah sebuah patung Buddha bergaya Sukhothai yang disemayamkan di astaka Cina yang terletak di balai pentahbisan. Kata kunci "Sri Ayutthaya" muncul bersama dengan nama individu dalam babad. Selain itu, ia mencatitkan tarikh pada tahun 1974 dalam takwim Buddha, bersamaan tahun 1431 M, semasa pemerintahan Chao Sam Phraya di kota Sri Ayutthaya. Bacaan tidak rasmi prasasti ini diterbitkan pada 10 April 2025 oleh Prof. Madya Dr. Rungroj Phiromanukul dan Prof. Madya Thanachot Kiatnapat yang kedua-duanya adalah pensyarah di Fakulti Kemanusiaan, Universiti Ramkhamhaeng.
Seperti kebiasaannya, pada 13 April 2025, Prof. Madya Dr. Rungroj Phiromanukul yang memantau rekod dan bacaan rekod sejarah tersebut berkata bahawa penemuan prasasti ini mengesahkan rekod-rekod lain mengenai kewujudan "Ayothaya" sebelum kewujudan kerajaan Sri Ayutthaya.
Menurut beliau lagi, walaupun nama Ayothaya dalam prasasti itu sebenarnya merujuk kepada Sri Ayutthaya, namun ia turut menggambarkan bahawa nama kerajaan Sri Ayutthaya selepas itu timbul bersempena kenangan kepada negara kota Ayothaya yang wujud sebelum tahun 1893 BE (1350 M). Oleh kerana prasasti ini bukan prasasti yang dikeluarkan oleh istana di negara kota tengah, tetapi berasal dari kelompok bangsawan Sri Satchanalai di negara kota Sukhothai pada zaman Sri Ayutthaya awal, maka boleh jadi nama Sri Ayutthaya yang menjadi nama kerajaan itu adalah nama lama bagi kerajaan yang sebelumnya tetapi disebut sebagai Ayothaya.
Rujukan boleh didapati dalam bahasa Thai di portal akhbar dalam talian Khao Sod, berjudul, "นักวิชาการ เผย จารึกวัดดัง สะท้อนว่า อโยธยา มีมาก่อนอยุธยาจริง ไม่ใช่แค่เมืองในตำนาน" atau terjemahannya ke bahasa Melayu, "Sarjana dedahkan bahawa prasasti wat terkenal menggambarkan Ayothaya telah wujud dahulu, bukan sekadar negara kota dalam lagenda" bertarikh 13 Mei 2025.