Sabtu, 29 Mei 2021

Hakikat

 

Sudah dua tahun pandemik SARS COVID-19 melanda dunia. Aku tak dapat masuk ke Thailand langsung sejak bulan Disember 2019. Wilayah yang aku lawati sebelum penutupan sempadan antarabangsa adalah Nakorn Sri Thammarat. Selepas itu, banyak sekali perkara berlaku seperti aku berpindah keluar dari Wilayah Persekutuan Putrajaya ke Selangor yang terletak cuma di luar sempadan rantau itu. Aku berkenalan dengan ramai rakan di Thailand namun tak semuanya bertahan kerana mereka pun sedang berhempas dengan kehidupan mereka di sana. Ada yang bekerja sebagai pegawai kerajaan, ada yang bekerja sendiri mencari nafkah dengan menjual pelbagai jenis barangan.

Lagu di atas menceritakan mengenai hakikat kehidupan bahawa kita ini kesunyian. Ia mengingatkan aku kepada diriku semasa masih kecil, dibuli di sekolah di Lembah Klang dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran. Aku kesunyian sejak kecil tanpa rakan. Ibu bapa aku pun sibuk bekerja ketika itu, aku sendiri pun tidak menyalahkan mereka. Kini bapaku pun sudah meninggal dunia. Aku hanya ada seorang adik perempuan bongsu dan kakak sulung. Itu pun kami hanya berhubung pada masa tertentu sahaja. Aku tiada abang atau adik lelaki.