Sebenarnya
radio negeri Kedah mempunyai slot khas untuk pengajaran bahasa Siam
semasa aku kecil dulu. Tenaga pegajarnya pun sudah meninggal dunia
habis. Radio negeri Kedah sekarang ini didominasi oleh penyampai yang
bukan
berasal dari negeri Kedah. Orang Kedah yang benar-benar berasal dari
Kedah habis melarikan diri keluar. Sebaliknya orang negeri lain yang
tiada kena mengena pula masuk ke titik-titik utama kerajaan dalam negeri
Kedah.
Bahan-bahan
pembelajaran bahasa Siam menggunakan wahana bahasa Melayu pula amat
sedikit sekali walaupun terdapat penduduk keturunan Melayu di Thailand
dan penduduk keturunan Siam di Malaysia. Bahan-bahan berbahasa Inggeris
untuk mempelajari bahasa Siam banyak pula. Keadaan ini sangat
menyedihkan sekali.
Ada
beberapa laman sesawang yang bagus untuk digunakan bagi mempelajari
bahasa Siam. Aku menggalakkan terutamanya anak-anak negeri Kedah dan
Perlis supaya menguasai bahasa Siam memandangkan hubungan sejarah dan
kekerabatan kita dengan Thailand. Selain itu, supaya kita mampu
berurusan dengan kerajaan Thailand, menjalankan urusniaga dan
menggalakkan pelancongan berbentuk eco-tourism dari negara jiran itu ke negeri Kedah serta Perlis.
Bahasa
Siam sebenarnya dituturkan juga di kampung-kampung penganut agama Islam
di beberapa daerah dan mukim di negeri Kedah. Mereka ini ada yang
berketurunan Melayu dan ada yang berketurunan Parsi. Kepupusan bahasa
Siam di Kedah dalam kalangan Muslim berlaku disebabkan ibu bapa malas
untuk bercakap bahasa Siam di rumah dan anak-anak bersekolah kebangsaan
yang menggunakan medium bahasa Melayu. Selain itu, media turut memainkan
peranan. Mereka tidak nampak kepentingan untuk berbahasa Siam.