Islam dan Muslim di Kerajaan Thailand - Baca Lanjut

Di Thailand misalnya, penganut Islam dikatakan dijajah oleh kerajaan pusat di Bangkok. Di Malaysia pula, ummah kafir dikatakan sentiasa mempunyai agenda udang di sebalik batu dengan orang Melayu atau penganut agama Islam. Banyak juga isu seperti isu orang hilang, kes baling kepala babi dalam surau, kes kepala lembu menghina penganut Hindu dan sebagainya yang terjadi di Malaysia.

Jika di Thailand pula, isu tiga wilayah sebelah pantai timur di selatan Thailand itulah fokusnya. Kebetulannya, bekas bos dan rakan sekerja aku sebenarnya berasal dari wilayah di sebelah situ juga. Keluarganya mendapat kerakyatan di sini semasa zaman Dr. Mahathir selepas bapanya dihalau oleh kerajaan Thailand kerana menyebabkan diplomatic offensive. Aku boleh katakan hubungan aku dengan bos aku itu tidak begitu rapat dan tidak begitu baik sangat pun. Aku tak puas hati dengan dia sebab dia warganegara asing tetapi mendapat segala faedah di sini sedangkan aku lahir di negeri Kedah dalam wilayah Malaysia pun tidak dilayan dengan baik di negara sendiri.

Sebenarnya, wilayah yang dihuni oleh etnik Melayu bukan hanya eksklusif di Patani, Yala dan Narathiwat. Sebaliknya beberapa wilayah lagi di sebelah pantai barat di selatan Thailand turut mempunyai etnik Melayu beragama Islam. Contohnya seperti wilayah Satun yang etnik Melayunya berbahasa Melayu loghat Kedah, wilayah Songkhla, wilayah Nakorn Sri Thammarat, wilayah Surat Thani, wilayah Krabi, wilayah Phangnga, wilayah Phuket dan sebagainya. Terdapat juga etnik Melayu Tua yang tidak menganut sebarang agama di wilayah-wilayah yang disebutkan itu. Mereka tinggal di kepulauan kecil dan pesisir pantai di selatan Thailand sebelah pantai barat.

Oleh itu, tidak ada sebab untuk memainkan isu perkauman kecuali jika wilayah-wilayah tersebut ingin menggaris tebalkan sejarah kerajaan lampau mereka kepada dunia. Maka hal tersebut bukannya satu rahsia pun. Ia sudah diketahui oleh umum. Bukan mereka sahaja yang menjadi mangsa kepada Perjanjian Anglo-Siam 1909 sebaliknya negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di utara dan pantai timur Malaysia turut menerima akibat kehilangan rantau masing-masing yang dipecahkan oleh British yang mementingkan diri sendiri. Kerajaan Kedah sebagai contoh telah kehilangan wilayah-wilayahnya iaitu Satun, Perlis dan Pulau Pinang. Kawasan-kawasan indah di hujung laut Andaman milik Kedah seperti Koh Tarutao telah dipecahkan kepada negara Malaysia dan negara Thailand. Pulau Brasmana yang sepatutnya berada dalam sempadan negeri Perlis juga berpindah kepada wilayah Satun dalam Thailand baru-baru ini. Isu ini langsung tidak dihebohkan dan didiamkan sahaja oleh kerajaan Malaysia sendiri.

Sebenarnya aku malas hendak masuk campur dalam kisah petitih wilayah Patani Besar yang melibatkan tiga wilayah dalam Thailand moden itu. Namun, aku bosan apabila orang akan bertanya mengenai isu penindasan melibatkan agama dan etnik di Thailand apabila mereka bersembang dengan aku kerana aku memang tidak begitu ambil 'port' sangat dengan isu wilayah lain kecuali wilayah kerajaan Kedah Darul Aman sahaja. Selain itu, membetulkan tanggapan bahawa kerajaan Kedah tidak pernah menjadi naungan atau jajahan kerajaan Patani Besar walaupun kedua-duanya adalah kerajaan yang berasaskan etnik Melayu Islam.