Perancangan Bulan Disember 2017

Bulan ini, aku memohon cuti selama dua (2) minggu dari pejabat aku. Aku rasa aku jarang meminta cuti atau mencari alasan untuk bercuti dengan mencari alasan seperti keluarga sakit, nak kahwin, isteri mengandung atau sebagainya kerana aku tiada kelebihan itu semua. Aku tidak berpeluang pun untuk membuat alasan kerana aku tidak reti memberikan alasan kepada orang. Sekali-sekala aku memohon cuti juga kerana aku sakit belakang akibat stress dengan perangai orang sekeliling di pejabat atau di rumah aku. Untuk cuti ini, aku perlu lakukan banyak perkara sendiri dan aku mempunyai perancangan untuk melawat dan melihat sendiri wilayah Phuket.

Rancangan ini sebenarnya sudah lama namun ia asyik tertangguh. Tempat yang paling jauh di sebelah selatan Thailand yang aku pernah sampai dengan menaiki perkhidmatan kenderaan awam darat adalah di daerah Sadao dan bandar Hatyai dalam wilayah Songkla dan wilayah Satun. Kenapa aku tidak ambil kapal terbang sahaja? Banyaklah faktornya dan salah satu sebabnya adalah kerana aku tidak begitu percaya dengan sistem perbankan internet. Aku tidak mahir menggunakan aplikasi dalam telefon pintar.

Hari terakhir aku bekerja dalam tahun 2017 adalah pada 15 Disember 2017 (Jumaat). Keesokan harinya pada 16 dan 17 Disember 2017 adalah cuti umum. Berikut adalah senarai cuti yang telah aku pohon dari bos-bos aku dan juga dari bahagian Sumber Manusia di pejabat.

Cuti Rehat
  • 18 Dis 2017
  • 19 Dis 2017
  • 20 Dis 2017
 Cuti Ganti
  • 21 Dis 2017
  • 22 Dis 2017
Cuti Umum
  • 23 Dis 2017
  • 24 Dis 2017
  • 25 Dis 2017
Cuti Ganti
  • 26 Dis 2017
  • 27 Dis 2017
Cuti Rehat
  • 28 Dis 2017
  • 29 Dis 2017
Cuti Umum
  • 30 Dis 2017
  • 31 Dis 2017
Januari 2018

Untuk tahun 2018, pada awal bulan Januari ada terdapat cuti umum sebanyak satu (1) hari kalau aku tidak silap. Aku harus memastikan aku tiba dengan selamatnya di Kuala Lumpur sebelum atau pada 28 Disember 2017. Mungkin aku akan berada di Phuket dari malam 22 Dis 2017 sehingga pagi 26 Dis 2017 saja. Kemudian, aku perlu dapatkan tiket bas ke wilayah Satun. Pada 27 Dis 2017 atau 28 Dis 2017, aku mungkin perlu tempah tiket dari Jeti Tammalang, wilayah Satun untuk ke Langkawi, Kedah, Malaysia. Pilihan satu lagi, mungkin aku ambil tiket ke Hatyai, wilayah Songkla untuk terus ke Kuala Lumpur. Had maksimum untuk aku berada di luar Kuala Lumpur adalah pada 31 Disember 2017 saja.

Cuti Umum Jan 2018
  • 1 Jan 2018 (Tahun Baru Masihi)
Rujuk pada perancangan cuti untuk tahun 2018 dalam diari bagi mengelakkan berlaku pembaziran wang dan masa. Untuk tahun hadapan, aku perlu memastikan bahawa aku belajar cara-cara untuk menempah tiket penerbangan atau tiket bas secara atas talian saja. Naik bas ini hanya sesuai sekiranya aku masih belajar dan tidak lagi bekerja. Lebih praktikal dan menjimatkan masa jika ambil penerbangan saja.