21 Disember 2017
Aku keluar dari rumah selepas waktu Maghrib sekitar jam 7.00pm. Aku cuma berjalan kaki sahaja ke stesen ERL kerana aku tidak boleh tinggal kereta aku di tempat letak kereta lama-lama. Aku bimbang tayar kereta aku akan dicuri atau sebagainya. Aku berjalan ke stesen ERL lebih kurang selama 20 minit. Di stesen ERL, aku menaiki kereta api tersebut sehingga ke Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan. Di sana aku pergi ke kaunter daftar masuk tiket. Bas yang diberikan adalah bas Konsortium. Harga tiket bas yang celaka itu adalah harga sehingga ke bandar Hatyai iaitu sebanyak RM 62.00. Di stesen bas tersebut aku bermain Line dengan rakan kenalan dari instagram, abang Mat Letup. Mungkin beliau ingat aku main-main sahaja walaupun aku sebenarnya memang mahu ke wilayah tempat tinggal beliau.
22 Disember 2017
Aku menunggu di terminal bas tersebut dan tercongok sehingga jam 12.30am walaupun bas tersebut dijanjikan bertolak pada jam 10.30pm. Bermaksud aku sebenarnya bertolak ke Thailand pada 22 Dis 2017 dan bukannya pada tarikh 21 Dis 2017 seperti yang tertera pada tiket bas tersebut.
Pada malam itu, aku telah tersilap memakai T-Shirt buruk Desasiswa Aman, Universiti Sains Malaysia iaitu tempat aku belajar dan tinggal semasa membuat sijil ijazah sarjana muda. Ada dua ekor bapuk berkerak yang kebetulan pernah belajar di universiti itu juga menunggu bas untuk ke destinasi yang sama. Mereka ternampak aku lalu menegur aku. Seorang daripada bapuk tersebut memaklumkan aku bahawa bas itu hanya berhenti di depan pintu imigresen Danok saja. Selepas itu, kita harus menyeberangi sendiri sempadan masuk ke Danok dan harus mengambil kenderaan lain bagi ke Hatyai. Aku tidak percaya pada mulanya, kerana aku baru saja masuk ke Thailand pada 2016. Mereka benarkan saja bas dari Malaysia masuk sehingga ke Hatyai.
Bas tersebut berhenti bertukar pemandu di Taiping pada sekitar jam 3.00am. Bas yang dibawa itu sangat laju. Lahanat punya pemandu bas. Kemudian mereka berhenti sementara di CTC Changlun, Kedah, Malaysia. Selepas itu, mereka meneruskan perjalan sehingga ke pintu masuk di Danok. Bas itu melalui kawasan imigresen Malaysia dan juga kawasan bebas cukai.
Sampai di bahagian Thailand, mereka sedang mengubahsuai kawasan imigresen mereka. Orang ramai sekali hendak masuk ke Thailand. Nombor giliran aku untuk pemeriksaan pasport adalah 1009. Ramai pula orang India rakyat Malaysia dan warganegara Indonesia yang ingin masuk bersiar-siar di Hatyai. Mereka menunggu di situ dan keadaannya bergenuak sekali kalau ikut loghat bahasa Kedah. Aku sempat bersembang dengan dua orang adik-beradik rakyat Malaysia yang juga tidak tahu mengenai peraturan baru yang dibuat oleh Thailand yang melarang bas-bas dari Malaysia supaya masuk ke Thailand. Bas dari Malaysia tidak dibenarkan melepasi sempadan Malaysia-Thailand bermula 27 November 2017 sebagai tindakbalas kepada peraturan yang dibuat oleh Malaysia.
Proses pemeriksaan pasport aku berlaku tanpa sebarang masalah. Aku hanya mengikut abang dan kakak rakyat Malaysia itu masuk ke Danok. Kami singgah makan sebentar di Restoran Haji Ali kerana kami sudah lapar. Haji Ali, tauke kedai nasi ayam itu bercakap bahasa Melayu dengan loghat Kedah. Beliau menawarkan kepada kami prebet sapu dengan bayaran TB 700.00 (RM 87.07) sehingga sampai ke Hatyai dari Danok. Abang dan kakak tersebut tidak setuju. Mereka mahu naik van awam saja ke Hatyai. Tambang bas awam tersebut adalah TB 60.00 (RM 7.46) untuk satu kepala.
Waktu ketika itu menunjukkan jam 9.00am di Thailand. Kami berjalan sedikit dan mendaftar nombor telefon Thailand di kaunter jenama syarikat telekomunikasi AIS. Tiga orang cik kak Danok mempromosikan pakej Happy Tourist dengan data tidak terhad untuk TB 150.00 (RM 18.66) selama tujuh hari. Mereka membantu memasangkan sekali kad tersebut dan seal kad SIM Malaysia aku dalam kotak pakej AIS itu. Kakak di sebelah kanan dalam gambar di bawah ini fasih berbahasa Melayu Kedah.
Van awam menunggu sehingga penumpang penuh. Selepas itu, barulah ia berjalan. Van awam itu boleh didapati di depak 7E pekan Danok. Sekitar dua jam barulah kami sampai ke stesen van awam Hatyai. Di sana, aku diturunkan untuk naik van ke Phuket. Dalam van itu, pada awalnya cuma ada aku dan seorang lagi wanita Thailand yang mahu ke wilayah Trang. Aku dikenakan bayaran sebanyak TB 390.00 (48.51) dari Hatyai sampai ke Phuket.
Perjalanan aku dari Hatyai ke Phuket mengambil masa sekitar lapan jam. Van tersebut berhenti sebentar di pekan Trang. Pemandu tersebut lapar nasi dan beliau mahu makan nasi dulu. Sila klik di Hentian Baan Nai Yong (sini) untuk gambar di perhentian pekan Trang. Kami berhenti di situ selama lebih kurang 20 minit.
Selepas itu, van itu menurunkan penumpang-penumpang iaitu dua orang dari Jerman dan empat penumpang berbangsa Korea di tempat orang menjual pakej pelancongan di Krabi. Van itu meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Phang Nga sebelum pemandu itu menyedari bahawa beg seorang kakak berbangsa Thai yang datang dengan suami Caucasian beliau dan dua orang anak perempuan mereka tertinggal di Krabi. Lelaki tua Caucasian dari Australia itu memaki hamun pemandu Thai tersebut dan aku berasa semak perut. Kakak Thai tersebut cuba menenangkan suami tua beliau itu dan bersopan santun dengan pemandu tersebut. Kemudian, aku baru membuka mulut dan bertanya kepada kakak tersebut sama ada beliau orang Phuket atau sebaliknya kerana aku dengar beliau bercakap dalam loghat Thai selatan di telefon. Aku baru pertama kali melawat Phuket dari Malaysia jadi aku tidak tahu di mana aku harus berhenti. Aku dapati van tersebut juga mengambil orang sambil lalu di sepanjang jalan sebelum sampai ke Phuket.
Kami masuk ke wilayah Phuket pada jam 8.00pm waktu Thailand. Aku dapati bahawa wilayah Phuket ini luas juga tak padan dengan sebuah pulau. Ada polis-polis berkawal di pintu masuk pulau tersebut. Van berhenti di Bo Ko So Phuket atau Terminal Bas Baru Wilayah Phuket. Waktu ketika itu menunjukkan pukul 10.00pm. Ada dua orang abang teksi motor di situ. Mereka membantu aku mengesan hotel yang aku tempah di Jalan Krabi, daerah Muang Phuket. Abang motor tersebut mengambil TB 50.00 (RM 6.22) dari aku. Beliau hantar aku sehingga ke depan pintu hotel tersebut, iaitu Hotel Ming Shou. Hotel tersebut dimiliki oleh seorang lelaki Cina Phuket, bernama Encik Chan. Aku mendaftar masuk selepas sejam menunggu penyambut tetamu hotel yang bermulut lebam itu.
Hotel itu berada sederet dengan Muzium Hua Thai, iaitu bekas sekolah Cina di Phuket. Aku diberikan bilik no. 306 di tingkat tiga. Aku meminta extension sehingga 23 Dis 2017 iaitu aku minta daftar keluar pada 24 Dis 2017 kerana aku tak sempat berbuat apa pun hari ini. Perjalanan dari Hatyai ke Phuket sahaja sudah memakan masa seharian.
Malam itu, aku menjemput abang Mat Letup kerana aku ada bersembang dengan beliau beberapa hari atau minggu sebelum aku nekad untuk berjalan di Phuket. Beliau memang datang berjumpa dengan aku sekejap sahaja. Beliau tumpang mandi di tandas bilik hotel aku selepas pulang dari bermain badminton di kawasan sekitar bandar itu. Selepas itu, beliau keluar semula berparti dengan kawan-kawan beliau. Ingatkan boleh lepak lama sambil sembang dan berkenalan lanjut namun nampak beliau seperti tergesa-gesa saja. Maka, aku malas hendak mengganggu rutin harian beliau. Beliau tertinggal beg baju beliau dan tak cakap banyak pun.
Aku pula ingatkan beliau akan kembali semula mengambil barangan beliau atau mungkin beliau nak lepak lagi dengan aku selepas berparti. Aku tidur-tidur ayam saja sehingga jam 4.00pm. Beliau masih tak kunjung balik pun atau at least jelaskan kalau-kalau beliau sibuk malam itu. Jadi aku tidur saja selepas itu sehingga jam 7.00am. Beliau tak datang mungkin sebab mabuklah kot. Aku cuma mesej di Line minta beliau dapatkan semula beg baju beliau kerana aku bimbang ada barangan berharga dalam beg baju beliau. Aku masukkan sekali pencuci muka mahal beliau walaupun aku geram orang buat perangai begitu kepada aku. Aku orang yang amanah dan jujur.
Ingatkan beliau berminat nak bantu dan guide aku namun beliau mungkin sibuk. Aku tak kisah sebenarnya tapi apa salahnya kalau beritahu saja jika tak boleh atau sibuk. Kalau tak mahu kawan atau tak minat berkawan dengan aku sebab aku nampak miskin selekeh pun tak apa. Aku bukannya hadap sangat tapi beritahu sajalah supaya aku tidak tunggu-tunggu dan membuang masa aku saja. Aku boleh usaha cari cara kawan lain untuk berjalan.




