Aku mandi pagi itu pada jam 08.00. Kemudian, aku bersiap-siap untuk
bersarapan pagi di hotel tersebut. Hotel tersebut menyediakan minuman
pagi yang terdiri daripada minuman bancuhan sendiri seperti milo dan
nescafe. Makanan pagi pula terdiri daripada hotdog kecil, ham ayam,
pisang setandan, roti toast yang boleh dibakar sendiri oleh penginap.
Uncang teh pun ada kalau nak minum teh. Layan diri katanya dan sarapan
pun ala kadar sahaja. Yang bagusnya, sarapan ini dimasukkan sekali dalam
harga bilik dan ia murah. Baca selanjutnya di sini mengenai Hotel Ming Shou.
Aku mula berjalan mengelilingi sedikit dari kawasan bandar Phuket ini. Aku
rasa aku telah memandang rendah keluasan wilayah Phuket ini kerana aku
pernah berjalan kaki sekitar Georgetown di Pulau Pinang. Aku tidak menyedari bahawa Pulau
Pinang dan bandar Georgetown hanya sekali ganda sahaja daripada Phuket. Aku
melawat ke Wat Luang Buddha Mongkol Nimit dan melawat ke cetiya di belakang wat tersebut sebelum keluar melalui pintu belakang.
Sila klik di Melawat Wat Buddha Mongkol Nimit (sini) untuk gambar di sekitar Wat Buddha Mongkol Nimit.
Aku
berjalan ke kawasan persimpangan bandar Phuket. Di situ ada sebuah
stesen minyak dan membeli sedikit air jenama tempatan untuk minum. Aku
lapar tetapi aku tidak terasa seperti hendak makan. Tujuan aku datang
adalah untuk merisik keadaan kerana aku fikir hendak lari ke Thailand
dahulu sebelum melompat keluar dari Asia Tenggara dan juga untuk melepak
dengan abang Mat Letup yang merupakan kenalan aku di Phuket kerana beliau
pernah ajak aku pergi melawat Phuket. Aku ingatkan beliau ajak betul-betul. Rupa-rupanya beliau hanya ajak-ajak ayam sahaja. Nanti sahajalah aku
ceritakan mengenai hal yang menyakitkan hati aku ini.
Aku
melalui Bukit Monyet dan sebuah kawasan semadi bhiksu. Aku terlupa nama
tempat tersebut. Ia adalah bukit kawasan suaka para bhiksu yang berpatibat tharm atau berlatih dharma mengikut ajaran Buddha. Aku berjalan sehingga ke kawasan perumahan tempatan masuk ke kawasan sub-urban.
Kawasan sub-urban itu adalah kawasan yang aku berhenti dan berpatah
balik semula ke stesen minyak tempat aku mula berjalan tadi. Gambar
titik terakhir aku meninjau kawasan bandar Phuket untuk hari ini adalah
seperti berikut. Anggaran jarak dari bandar mungkin dalam dua kilometer.
Dalam perjalanan juga aku nampak pejabat kerajaan seperti Jabatan
Komunikasi dan Jabatan Tanah Phuket, Penjara Phuket serta lain-lain.
Aku dapati pencawang-pencawang elektrik mereka sangat menakutkan
kerana aliran arus berbunyi-bunyi dan meletup-letup. Selepas berpatah
balik itu, aku berjalan di rantau Jalan Thalang dan melalui Jalan Phang
Nga. Aku nampak pejabat abang Mat Letup di situ sebelum dia mesej aku
memberitahu dia sangat sibuk. Ini pun nanti aku ceritakanlah. Aku
berjalan-jalan sekejap dan kemudian balik ke bilik sahaja sebab aku
masih terfikir mengenai abang Mat Letup. Aku rehat-rehat sebentar dan keluar
berjalan semula.
Hari ini sebenarnya hari yang panjang
juga. Aku rasa hendak pulang ke Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang
Phuket tetapi kad SIM Thailand telah menghalang TAC code dihantar ke
telefon aku. Kad SIM Malaysia aku tidak dipasang sekali dalam telefon.
Hal ini menyusahkan aku untuk membuat tempahan tiket secara atas talian.
Aku terpaksa memendekkan tempoh lawatan aku kerana bimbang tersangkut
sehingga habis waktu cuti aku yang sebenarnya lama lagi. Hidup selepas
bekerja pun ada sahaja kesusahannya. Semasa belajar tak ada duit nak
berjalan. Setelah bekerja ada duit, susah nak dapat cuti pula untuk
bertemu dan melepak dengan kawan-kawan.



