Trip di Satun pada Tahun 2016

Sebagai catitan, aku sebenarnya merancang untuk bercuti di Phuket, Thailand pada cuti Hari Raya Aidilfitri yang lepas. Kononnya hendak bertemu dan melepak dengan rakan-rakan di Thailand yang kebanyakannya aku kenali di media sosial. Sambil itu, aku ingin mengambil catitan mengenai tempat-tempat yang menarik di selatan Thai untuk rujukan perjalananku pada masa hadapan.

Pembelian tiket telah aku buat dengan penerbangan AirAsia, syarikat penerbangan murah manakala hotel murah juga telah siap ditempah melalui laman web booking.com. Namun, malang sekali kerana penerbangan aku dibatalkan dengan sesuka hatinya oleh AirAsia. Jadi aku geram lalu meroyan dalam akaun media sosial syarikat tersebut. Oleh sebab aku memang telah memohon cuti yang merangkumi masa selama 10 hari maka sia-sialah susah payah aku menyembah takzim kepada ketua unit dan ketua jabatan memohon mereka mengecap borang cutiku kalau aku hanya terperuk menunggu reput saja di rumah.

Oleh itu, aku membeli tiket bas pula dan ingin mencuba pengangkutan bas ekspress ke Thailand melalui jalan darat. Semasa balik dari pejabat, aku mendekati kaunter tiket bas ekspress di Pudu, Kuala Lumpur dan membeli tiket untuk ke Hadyai. Aku tak berfikir banyak lagi dan membeli dahulu tiket. Kata orang kalau kita tak cuba, mana kita tahu, kan? Harga tiket Bas Konsortium yang aku beli itu pun cuma RM 63.00 sahaja.

Tanpa melengah-lengahkan masa lagi, aku senaraikan dahulu catitanku di sini supaya boleh membuat rujukan semula pada masa depan:

  • 08 Julai 2016
  • 09 Julai 2016
  • 10 Julai 2016
  • 11 Julai 2016
  • 12 Julai 2016
  • 13 Julai 2016 

Aku tidak sempat membuat catitan dalam diari tetapi aku sempat mengambil beberapa gambar sebagai kenangan. Disebabkan aku hanya travel berseorangan maka aku terpaksalah selfie atau menggunakan apa saja yang boleh membuatkan telefon pintar aku yang murah itu berdiri tegak untuk mengambil gambar. Selain itu, catitan ini telah aku buat pada 30 Ogos 2016.