Seorang Wanita Migran Thai Tidak Berdokumen ditahan di Johor

Menurut berita bertajuk, "Johor Immigration nabs 40 illegals during Ops Sapu" yang bermaksud Jabatan Imigresen menahan seramai 40 orang pendatang tanpa dokumen, seorang (1) wanita dari Thailand telah ditahan dalam operasi antara 6 Mei hingga 8 Mei 2024. Operasi yang dijalankan di seluruh Johor terdiri daripada Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Selera, Ops Minyak dan Ops Kutip. 

Tuan Baharuddin Tahir, Pengarah Imigresen Johor dalam kenyataan beliau menyatakan bahawa Ops Sapu sebagai contoh dijalankan pada 12 Mei 2024 (Ahad) pada waktu tengah malam kerana terdapat aduan awam mengenai pekerja migran yang tidak berdokumen tinggal dalam sempadan negara ini. Operasi yang dikenali sebagai Ops Sapu ini dijalankan di sebanyak 19 premis dan seramai 246 orang warga asing diperiksa oleh anggota imigresen. Dalam Ops Sapu, seramai 40 orang PATI berusia antara 19 dan 42 tahun yang terdiri daripada 27 orang lelaki warganegara Bangladesh, tujuh (7) orang lelaki warganegara India, tiga (3) orang lelaki warganegara Nepal, dua (2) lelaki warganegara Pakistan dan seorang (1) lelaki warganegara China telah ditahan. Tiada warganegara Thai yang ditahan dalam Ops Sapu ini.

Selain itu, tiada butiran lanjut mengenai wanita warganegara Thai yang ditahan imigresen dalam operasi di Johor pada tarikh antara 6 hingga 8 Mei 2024. Beliau ditahan bersama dengan 19 orang lelaki warganegara Indonesia, empat (4) orang wanita warganegara Indonesia, dua (2) lelaki warganegara Bangladesh, lapan (8) orang lelaki warganegara Pakistan, empat (4) orang lelaki dari Myanmar, lima (5) orang wanita dari Myanmar, lima (5) orang lelaki dari Nepal dan seorang (1) lelaki warganegara Turki. Jumlah tahanan dalam operasi yang melibatkan penahanan wanita warganegara Thai ini adalah seramai 49 orang. Tahanan berusia antara 21 hingga 50 tahun ditahan di sekitar Johor Baru, Batu Pahat, Mersing, Segamat dan Muar.

Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalan yang sah dan tinggal melebihi masa.          

I