Ketidakstabilan dan kekacauan yang sering berlaku serta kebimbangan rampasan kuasa oleh komunis selepas kejatuhan Saigon ke tangan komunis menyebabkan kumpulan sayap paling kanan di Thailand melabelkan golongan pelajar berfahaman kiri sebagai komunis. Keadaan ini memuncak dengan berlakunya peristiwa berdarah yang dikenali sebagai Pembantaian Universiti Thammasat pada Oktober 1976. Satu rampasan kuasa berlaku pada hari itu menyebabkan Thailand berada di bawah pentadbiran kerajaan ultra-kanan. Pentadbiran ini menggeledah pusat-pusat media, menahan pegawai kerajaan dan golongan intelek yang disyaki condong kepada komunis. Selepas itu, satu lagi rampasan kuasa berlaku pada tahun 1977 yang membawa kepada penubuhan kerajaan baru yang berfahaman lebih sederhana. Kerajaan baru itu memberikan pengampunan kepada pejuang-pejuang komunis pada tahun 1978.
Selanjutnya, Panglima Prem Tinsulonanda dilantik menjadi Perdana Menteri Thailand dari tahun 1980 hingga tahun 1988. Pada ketika itu, berlaku krisis pelarian Indochina, serangan sempadan Vietnam dan ekonomi yang lembap. Kelompok komunis menghentikan keadaan darurat menjelang tahun 1983. Pentadbiran Panglima Tinsulonanda ini digelar sebagai pentadbiran "separa demokrasi". Hal ini kerana Parlimen dibentuk oleh semua Dewan yang dipilih dan semua Senat. Tahun 1980an juga menyaksikan campur tangan istana dalam politik negara. Pihak istana cuba menjalankan rampasan kuasa sebanyak dua kali masing-masing pada tahun 1981 dan tahun 1985 namun kedua-dua percubaan tersebut gagal. Thailand mendapat perdana menteri pertama yang dipilih oleh rakyat pada tahun 1988 sejak kali terakhir perdana menteri dipilih rakyat pada tahun 1976.
Panglima Suchinda Kraprayoon yang merupakan pemimpin rampasan kuasa pada 1991 menyatakan bahawa beliau tidak akan menjadi perdana menteri Thailand. Namun, beliau dicalonkan juga sebagai salah seorang calon perdana menteri oleh pakatan kerajaan yang majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1992. Keadaan ini menyebabkan orang ramai membuat tunjuk perasaan di Bangkok yang berakhir dengan pertumpahan darah apabila bertembung dengan kuasa tentera. Raja Rama XII terpaksa masuk campur dalam kejadian tersebut dan menandatangani undang-undang pengampunan rasmi atau amnesty law dalam bahasa Inggeris. Lantaran peristiwa itu, Panglima Suchinda pun meletak jawatan.
Menurut sumber dari Tabung Kewangan Dunia (IMF) berjudul, "Thailand Letter of Intent" bertarikh 25 November 1997, Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997 berasal dari Thailand dan mengakhiri perkembangan ekonomi berterusan Thailand selama 40 tahun. Pentadbiran Chuan Leekpai, Perdana Menteri Thailand pada ketika itu terpaksa menerima pinjaman IMF bersama dengan syarat-syarat yang sangat pahit untuk ditelan oleh negara itu.
Pada tahun 2004, Selatan Thailand dilanda oleh bencana alam gempa bumi dan tsunami. Peristiwa ini meragut nyawa seramai 5,400 orang di wilayah Phuket, Phang Nga, Ranong, Krabi, Trang dan Satun dengan beribu-ribu orang masih lagi hilang dan tidak dapat dikesan.
Seterusnya, Parti Thai Rak Thai yang populis pimpinan Thaksin Shinawatra, Perdana Menteri Thailand pada tahun 2001 hingga tahun 2006 menjalankan dasar yang dilihat berjaya mengurangkan kemiskinan di kawasan pedalaman dan kesihatan sejagat di Thailand.
Walau bagaimanapun, Thaksin dilihat sebagai seorang populis yang korup serta menghancurkan golongan pertengahan bagi memberikan imej baik terhadap dirinya dalam kalangan golongan petani miskin di pedalaman. Di samping itu, Thaksin juga menerika kritikan terhadap tindak balas beliau terhadap Darurat Selatan Thailand yang semakin buruk sejak tahun 2004. Tambahan, syor-syor yang diberikan olehnya berhubung dengan golongan miskin di pedalaman bertentangan dengan syor-syor yang diberikan oleh baginda Raja Bhumibol lalu menimbulkan kemarahan golongan penyokong istana yang merupakan kelompok yang berkuasa di Thailand.
Dalam tindak balas mereka, golongan penyokong istana mereka-reka cerita bahawa Thaksin dan "penasihatnya bermesyuarat di Finland serta berkomplot untuk menggulingkan institusi diraja". Dalam masa yang sama, tunjuk perasaan besar-besaran menentang Thaksin dipimpin oleh Parti Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) mula dilancarkan dalam penggal kedua beliau menjadi perdana menteri. Akhirnya, institusi diraja dan tentera bersetuju untuk menjatuhkan Thaksin. Dalam kes ini, pihak tentera mendapatkan restu dari raja dahulu sebelum menjatuhkan Thaksin. Namun raja menolak permohonan tentera ini. Kemudian, raja juga menolak permohonan Thaksin untuk memimpin tentera sekaligus membolehkan pemimpin tentera berkuasa merampas kuasa pentadbiran dari Thaksin. Kemudian, tentera membubarkan parti Thaksin dengan rampasan kuasa tentera pada tahun 2006 serta mengharamkan beratus-ratus daripada eksekutif pentadbiran daripada parti ini daripada bergiat dalam politik. Selepas peristiwa ini, pentadbiran Thailand berada di bawah pihak tentera selama setahun.
Rakyat Thailand mengambil peranan yang sangat aktif dalam usaha mereka untuk mengembalikan proses demokrasi. Mereka menyerbu bangunan-bangunan kerajaan dan pihak tentera pula mengancam untuk menjalankan rampasan kuasa sekali lagi. Akhirnya, pada tahun 2007, orang awam dipimpin oleh Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang bersekutu dengan Thaksin terpilih dalam PRU. Satu lagi bantahan yang dipimpin oleh PAD timbul menyebabkan parti PPP dibubarkan dan Parti Demokrat memimpin kerajaan campuran. Barisan Demokrasi Bersatu Menentang Kuku Besi (UDD) yang pro-Thaksin turut membuat bantahan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2009 dan tahun 2010. Dalam bantahan pada tahun 2010, keganasan berlaku apabila pihak tentera masuk campur hingga menyebabkan 70 orang awam terbunuh.