Satu revolusi tanpa pertumpahan darah berlaku di istana pada tahun 1932 yang mana Raja Prajadhipok atau Rama VII telah dipaksa untuk memberikan kurnia perlembagaan pertama kepada negara Siam sekaligus mengakhiri lapan abad sistem feudal dan sistem beraja mutlak.
Kesan daripada Revolusi 1932 ini bercampur-campur dengan Siam menghadapi kesukaran dari segi ekonomi dan mengalami Kemurungan Besar yang dicerminkan oleh kejatuhan harga beras dan pengurangan perbelanjaan awam yang signifikan menimbulkan rasa tidak puas hati golongan bangsawan Siam. Pada tahun 1933, satu revolusi dan pemberontakan berlawanan berlaku dengan tujuan ingin mengembalikan semula sistem raja berkuasa mutlak namun hal tersebut gagal. Pertelingkahan antara Rama VII dengan kerajaan akhirnya menyebabkan baginda turun takhta. Kerajaan lantas memilih baginda Ananda Mahidol yang ketika itu sedang belajar di Switzerland sebagai raja Siam yang baru.
Dalam dasawarsa itu, sayap tentera yang dikenali sebagai Khana Ratsadon muncul menguasai medan politik Siam. Marysal Plaek Phibunsongkhram menjadi Perdana Menteri Siam pada tahun 1938 dan menjalankan penindasan politik. Beliau mengambil pendirian anti-istana. Selain itu, kerajaan beliau turut meniup semangat kebangsaan Siam serta menggalakkan proses pembaratan Siam, mengamalkan dasar yang anti Cina dan anti-Perancis.
Pada tahun 1939, satu piagam telah dikeluarkan untuk mengubah nama negara itu dari "Siam" kepada "Thailand". Pada tahun 1941, Thailand terlibat sekejap dalam konflik dengan Rejim Perancis Vichy menyebabkan Thailand berjaya merampas beberapa kawasan Lao dan Kemboja yang ketika itu dijajah Perancis.
Pada 8 Disember 1941, Empayar Jepun melancarkan penaklukan ke atas Thailand. Pertempuran pendek berlaku sebelum Marsyal Phibunsongkhram mengarahkan genjatan senjata. Jepun diberikan kebenaran untuk melalui Thailand dan pada 21 Disember 1941, Thailand dan Jepun menandatangani satu perikatan ketenteraan dengan protokol rahsia yang mana Kerajaan Jepun bersetuju untuk membantu Thailand mendapaykan semula jajahannya yang dirampas oleh kuasa Barat.
Selanjutnya, Kerajaan Thailand mengisytiharkan perang ke atas Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK). Pada ketika itu, British Malaya yang merupakan satu kelompok negeri naungan di bawah United Kingdom terdedah kepada ancaman tentera Thailand. UK memberikan tindak balas yang serupa kepada Thailand. Dalam pada itu, AS pula enggan mengisytiharkan perang ke atas Thailand dan tidak mengendahkan perisytiharan perang Thailand itu.
Pergerakan Bebaskan Thai dilancarkan di Thailand dan di luar negara bagi menentang Kerajaan Thailand dan pendudukan Jepun. Selepas perang berakhir pada tahun 1945, Thailand menandatangani perjanjian-perjanjian rasmi bagi mengakhiri keadaan peperangan dengan pihak Berikat.
Pada Jun 1946, Raja Ananda Mahidol atau Rama VIII yang masih lagi muda ditemui mangkat dalam keadaan yang misteri. Adinda baginda, Putera Bhumibol Adulyadej ditabalkan sebagai Rama IX. Thailand menyertai Organisasi Perjanjian Asia Tenggara (SEATO) untuk menjadi sekutu aktif Amerika Syarikat pada tahun 1954. Marsyal Medan Sarit Thanarat melancarkan rampasan kuasa pada tahun 1957 dan mengeluarkan Khana Ratsadon dari arena politik. Pemerintahan Marsyal Sarit Thanarat (1959-1963) bersifat kuku besi. Beliau membina keabsahan pimpinan beliau dengan mengikatnya kepada sistem beraja yang mana raja dianggap sebagai dewa dan menyalurkan kesetiaan kerajaan kepada raja. Kerajaan di bawah pimpinan beliau menambah baik prasarana dan pendidikan di Thailand. Selepas AS menyertai Perang Vietnam pada tahun 1961, AS membuat perjanjian rahsia untuk melindungi Thailand.
Masyarakat Thailand menjalani proses pemodenan dan pembaratan yang ketara pada tahun 1960an. Proses urbanisasi berkembang pesat di mana penduduk pedalaman mula berpindah ke bandar-bandar yang sedang berkembang. Sementara itu, David K. Wyatt (2013) dalam buku beliau berjudul, "Thailand: A Short History" menyatakan bahawa golongan petani di pedalaman mula mendapat kesedaran politik dan mereka bersimpati dengan Parti Komunis Thailand.
Kemajuan ekonomi dan pendidikan menimbulkan pula golongan kelas pertengahan di Bangkok serta di bandar-bandar lain di Thailand. Pada Oktober 1971, demonstrasi besar-besaran berlaku menentang pentadbiran kuku besi Thanom Kittikachorn, Perdana Menteri Thailand (1963 - 1973) sehingga menyebabkan orang awam menjadi mangsa. Setelah itu, Raja Rama IX melantik Sanya Dharmasakti sebagai Perdana Menteri Thailand (1973 - 1975) bagi menggantikan Kittikachorn menandakan campur tangan terus raja dalam politik Thailand sejak tahun 1932. Kesan daripada insiden ini mewujudkan demokrasi parlimen yang hanya sekejap sahaja, disebut juga dalam bahasa Thai sebagai ยุคประชาธิปไตยเบ่งบาน yuk prachathipatai bongban atau "era di mana demokrasi berkembang".