Sejarah Semenanjung Malaysia sebahagian besarnya didasarkan kepada Kesultanan Melaka kerana penulis sejarah berbangsa Melayu kebanyakannya menganggap bahawa Kesultanan Melaka sebagai waris kepada empayar Srivijaya yang silam. Namun, halnya tidak semestinya demikian kerana sebelum Perang Dunia Kedua, Semenanjung Tanah Melayu sebenarnya mempunyai entiti politik yang berbeza dan tidak mempunyai kuasa pusat yang berfungsi sebagai penyatu kepada semua entiti politik tersebut.
Bagi pengenalan sahaja, maka sejarah diringkaskan dengan Kesultanan Melaka sebagai batu asas kepada kewujudan Semenanjung Malaysia. Kesultanan Melaka pada awal kemunculannya telah menyatakan kebaktian untuk tunduk menjadi negara di yang dilindungi oleh dinasti Ming dari benua China. Kesultanan Melaka membayar ufti kepada benua China yang mana hal tersebut dibalas oleh benua China dengan memberikan perlindungan dari segi ketenteraan pula kepada Kesultanan Melaka. Hal ini membolehkan Kesultanan Melaka berkembang dan makmur.
Dinasti Ming membantu Kesultanan Melaka daripada ditakluki oleh Kerajaan Sri Ayutthaya dari benua Siam dan Kerajaan Majapahit dari Tanah Jawa. Selain itu, dinasti Ming juga telah menyerang Pulau Veniaga yang terletak di Hong Kong sebagai membalas tindakan Portugal yang menakluki kota Melaka.
Pada asasnya, penduduk asli di Kerajaan Melaka dipengaruhi oleh adat istiadat Hindu dan ajaran Buddha. Menurut rekod babad, pada saat Parameswara mengasaskan Kerajaan Melaka, negara kota tersebut selalu dihentam oleh Kerajaan Majapahit, seteru lamanya dan pesaingnya dari utara iaitu Kerajaan Sri Ayutthaya. Kerajaan Melaka berjaya bertahan dari serangan seterunya itu dan menghantar duta raja ke istana Maharaja China dari dinasti Ming yang merupakan kuasa besar pada ketika itu. Maharaja China bersetuju untuk melindungi Melaka maka Kerajaan Majapahit dan Kerajaan Sri Ayutthaya tidak lagi mengganggu Kerajaan Melaka. Kemudian, sesetengah rekod pula mencadangkan bahawa semasa kegiatan perdagangan berlangsung dan ketibaan Laksamana Cheng Ho yang bertindak sebagai duta Maharaja China ke Melaka, didapati bahawa Parameswara telah memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Sultan Iskandar Shah. Agama baru itu tersebar dengan pantas ke seluruh negara kotanya dan juga melalui perjalanan Laksamana Cheng Ho kerana beliau juga adalah penganut agama Islam.
Dinasti Ming telah memberi amaran kepada Kerajaan Sri Ayutthaya dan Kerajaan Majapahit supaya tidak menakluki atau menyerang Kesultanan Melaka kerana Kesultanan Melaka berada di bawah perlindungan Benua China. Selain itu, dinasti Ming memberikan gelaran Raja kepada Sultan Melaka. Pedagang China juga membina beberapa gudang dalam Kesultanan Melaka. Oleh itu, Kesultanan Melaka berkembang maju di bawah perlindungan benua China. Oleh kerana benua Siam dilindungi oleh benua China, maka benua Siam terpaksa akur dengan arahan dari benua China dan tidak mengganggu negara kota Melaka lagi.