Selain daripada kata majmuk dan kata yang diserap dari bahasa asing, kebanyakan perkataan dalam bahasa Siam bersifat satu suku kata.
Bahasa Cina memberikan pengaruh yang kuat ke atas bahasa Siam hingga ke abad ke-13 masihi. Bahasa Siam Purba menggunakan tulisan Cina sehinggalah tulisan Cina ditinggalkan oleh mereka dan digantikan pula dengan tulisan bahasa Sanskrit dan bahasa Pali. Walau bagaimanapun, perbendaharaan kata bahasa Siam masih lagi mengekalkan beberapa perkataan yang dipinjam dari bahasa Cina Pertengahan.
Bahasa Mon-Khmer digunakan sebagai bahasa golongan atasan pada awal kemunculan kerajaan orang Siam. Dipercayai bahawa orang Siam purba boleh berbahasa Siam dan berbahasa Mon-Khmer. Kira-kira 2,500 perkataan bahasa Siam yang diterbitkan dari bahasa Mon-Khmer, mengatasi jumlah perkataan dari bahasa Siam. Perkataan bahasa Mon-Khmer ini merentangi pelbagai bidang semantik. Uraisi Varasarin, cendekiawan Siam mengelaskan perkataan tersebut ke dalam 200 ranting kategori. Hasilnya, didapati bahawa mustahil bagi orang Siam, sama ada pada zaman dulu atau sekarang untuk berbual tanpa menjalinkan perkataan pinjaman dari bahasa Mon-Khmer dalam subjek perbualan yang dibincangkan. Pengaruh ini khususnya banyak terlihat pada istilah yang digunakan dalam istana raja.
Kemudian, kebanyakan perbendaharaan kata dipinjam juga dari bahasa Sanskrit dan bahasa Pali. Istilah agama Buddha khususnya menjadi penyumbang utama kepada perbendaharaan kata bahasa Siam. Perkataan dari bahasa India kebanyakan mempunyai daftar yang rasmi yang boleh dibandingkan dengan perkataan pinjaman bahasa Latin dan bahasa Perancis dalam bahasa Inggeris. Sejak permulaan abad ke-20 masihi, bahasa Inggeris pun turut memberikan pengaruh yang besar ke atas bahasa Siam khususnya dalam istilah saintifik, teknikal, antarabangsa dan istilah moden lain.