Orang Tai-Kadai berhijrah dari barat daya China ke tanah besar Asia Tenggara sejak abad ke-6 masihi hingga abad ke-11 masihi. Pada ketika itu, kerajaan bercorak Buddha dan Brahmana seperti kerajaan-kerajaan orang Mon, kerajaan orang Khmer, dan kerajaan-kerajaan kecil Melayu telah pun wujud. Orang Tai-Kadai turut membangunkan kerajaan mereka sendiri seperti kerajaan Nakorn Ngoenyang, kerajaan Sukhothai, kerajaan Lanna dan kerajaan Ayutthaya atau Siam. Kesemua kerajaan ini walaupun sebangsa, namun mereka tetap bersaing sesama sendiri.
Orang Eropah mula berhubung dengan orang Siam pada tahun 1511 dengan orang Portugis menghantar duta mereka ke kerajaan Ayutthaya. Menjelang penghujung abad ke-15 masihi, Ayutthaya telah pun menjadi kuasa serantau. Ayutthaya mencapai kemuncaknya pada abad ke-18 masihi hinggalah ia hancur akibat diserang oleh empayar Burma. Panglima Thaksin pada ketika itu segera menyatukan kembali rantau Ayutthaya yang berpecah dan menjadi raja bagi kerajaan Thonburi yang diasaskan oleh baginda. Namun, kerajaan Thonburi yang bermula pada tahun 1767 itu berakhir pada tahun 1782 dengan raja Thaksin sebagai satu-satunya raja bagi kerajaan tersebut.
Seterusnya, raja Thaksin digantikan oleh baginda raja Putthayotfa Chulalok yang memakai gelaran Raja Rama I. Baginda menjadi raja pertama yang mengasaskan dinasti Chakri di Siam. Sepanjang zaman penjajahan Barat di Asia, Siam menjadi satu-satunya negara di rantau ini yang tidak dijajahi oleh kuasa Barat walaupun Siam selalu dipaksa untuk menyerahkan rantau jajahannya, konsesi perdagangan dan perundangan melalui perjanjian dengan kuasa Barat yang berat sebelah.
Sistem kerajaan Siam pula adalah sistem kerajaan yang berpusat. Ia kemudian berubah menjadi sistem monarki mutlak berpusat yang moden pada tahun 1868 hingga tahun 1910 di bawah pemerintahan raja Chulalongkorn atau Raja Rama V.
Semasa Perang Dunia I, Siam berpihak dengan Kuasa Berikat, satu keputusan politik yang dibuat dalam usaha untuk mendapatkan keadilan daripada perjanjian berat sebelah yang dipaksakan kepadanya. Berikutan satu revolusi tanpa pertumpahan darah pada tahun 1932, Siam menjadi negara yang beraja dan berperlembagaan serta menukarnya namanya menjadi Thailand. Thailand seterusnya menjadi sekutu kepada empayar Jepun dalam Perang Dunia II.
Pada lewat tahun 1950an, satu rampasan kuasa tentera di bawah Panglima Sarit Thanarat berlaku tetapi beliau menghidupkan kembali sistem beraja dalam politik. Semasa Perang Dingin, Thailand menjadi sekutu utama bukan NATO bagi Amerika Syarikat. Thailand sebagai ahli South East Asia Treaty Organisation (SEATO) memainkan peranan dalam memerangi komunis di Asia Tenggara. SEATO kemudian dibubarkan pada tahun 1977.
Selain daripada demokrasi berparlimen yang sekejap pada pertengahan 1970-an dan 1990an, Thailand sering berada dalam pemerintahan yang berselang seli antara demokrasi dan ketenteraan. Sejak tahun 2000-an, Thailand sentiasa berada dalam konflik politik antara penyokong dan pembangkang kepada Thaksin Shinawatra, Perdana Menteri Thailand. Thaksin Shinawatra pernah memenangi Pilihan Raya Umum Thailand sebanyak dua kali. Kesannya, berlaku juga rampasan kuasa tentera sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2006 dan tahun 2014 bersama dengan terbentuknya perlembagaan Thailand yang terkini. Pada tahun 2019, satu kerajaan demokratik pada namanya sahaja telah diasaskan selepas pilih raya umum (PRU). Protes penyokong demokrasi besar-besaran pun berlaku antara tahun 2020 hingga tahun 2021, termasuklah tuntutan yang tidak dijangka iaitu reformasi kepada institusi monarki.
Sejak tahun 2019, Thailand pada namanya sahaja merupakan negara raja berperlembagaan. Namun, dari segi amali pula, perlembagaan masih lagi memberikan keistimewaan dari segi struktur yang cenderung untuk memastikan bahawa pihak tentera terus berpengaruh dalam arena politiknya.
Thailand adalah kuasa pertengahan dalam hal ehwal dunia dan salah satu ahli pengasas dalam Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). Selain itu, ia menjadi kuasa ekonomi yang kedua terbesar di Asia Tenggara dan yang ke-23 terbesar di dunia dari segi pariti kuasa beli (PPP). Thailand turut berada di kedudukan yang ke-29 dalam tangga Kadar Dalam Negara Kasar (GDP).
Akhir sekali, Thailand dikelaskan sebagai ekonomi perindustrian yang baru dengan industri pembuatan, pertanian dan pelancongan menjadi sektor utama yang menyumbang kepada ekonomi negara.