Bahasa Siam atau bahasa Thai adalah bahasa yang paling banyak dituturkan di negara Thailand oleh penutur asli atau penuturnya sebagai bahasa kedua jika dibandingkan dengan 60 bahasa lain dalam sempadan negara tersebut.
Hampir separuh daripada perbendaharaan kata dalam bahasa Siam diserap dari pelbagai bahasa lain yang antaranya adalah bahasa Pali-Magadha, bahasa Sanskrit, bahasa Mon dan bahasa Khmer Purba. Bahasa Siam ini adalah bahasa yang bersifat pelbagai nada dan analitik. Selain itu, ia mempunyai sistem tulisan yang rumit dan sistem penanda pada aksara bagi membezakan makna perkataan yang sama. Bahasa Thai basahan bergantung kepada faktor sosiolinguistik umum seperti usia, jantina, golongan masyarakat, hubungan rapat, dan perbezaan antara kampung serta bandar ini boleh difahami juga oleh penutur bahasa lain seperti bahasa Lao dan penutur topolek Thai lain di pelbagai wilayah dalam Thailand. Bahasa-bahasa ini ditulis dengan aksara yang sedikit berbeza dengan bahasa Siam namun secara linguistiknya masih lagi sama dan menjadi kesinambungan dialek bagi penutur bahasa yang sama.
Bahasa Siam dituturkan oleh hampir 69 juta orang menjelang tahun 2020. Selanjutnya, kebanyakan orang Siam di utara contohnya di rantau Lanna dan rantau Isan di Timur Laut dalam Thailand boleh dikira sebagai penutur bahasa Siam dialek Tengah dan juga bahasa mereka sendiri. Hal ini berlaku kerana pengaruh dari wilayah Tengah dari segi media massa, pendidikan, rancangan televisyen dan sebagainya. Penyelidikan terbaru juga mendedahkan bahawa penutur bahasa Thai Utara yang dikenali sebagai Phasa Mueang atau Kam Mueang mula berkurangan kerana kebanyakan orang di Thai Utara mula bertutur hanya dalam bahasa Siam atau bahasa Thai Tengah sahaja. Mereka kini banyak menggunakan perkataan dari bahasa Siam dan menambahkan perisa dalam percakapan mereka dengan bunyi bahasa Utara. Bahasa Siam atau bahasa Thai Standard dijadikan pengantar rasmi bagi golongan berpendidikan oleh orang Thai Tengah dan juga etnik Mon yang tinggal di situ.
Selain daripada bahasa Siam atau bahasa Thai Tengah, Thailand juga menjadi tuan rumah bagi bahasa Tai lain yang berkaitan. Walaupun kebanyakan ahli bahasa mengelaskan dialek itu semua sebagai berkaitan namun adalah bahasa yang berlainan, namun penutur aslinya selalu menjatikannya sebagai variasi atau kepelbagaian bagi satu bahasa Siam atau bahasa Thai yang sama. Dalam erti kata yang lain, mereka menganggap bahasa mereka itu sebagai dialek bagi bahasa Siam atau bahasa Thai. Sebagai bahasa yang dominan dalam segala aspek masyarakat di Thailand, bahasa Siam pada awalnya menyaksikan pengembangan yang beransur-ansur sehinggalah penerimaannya sebagai bahasa kedua dalam kalangan etnik minoriti bermula dari pertengahan hujung zaman Sri Ayutthaya sehinggalah ke seterusnya. Etnik minoriti di Thailand kini kebanyakannya boleh bertutur dalam bahasa ibunda mereka dan juga bahasa Siam.