Malaysia ialah negara persekutuan yang bersifat monarki dan berpelembagaan. Negara ini terbentuk dari Semenanjung Tanah Melayu dan beberapa bahagian di pulau Borneo. Malaysia mempunyai pantai, hutan hujan tropika dan kepelbagaian identiti budaya seperti Melayu, Cina, India dan Eropah. Malaysia ialah sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik dan kebudayaan. Walaupun Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengisytiharkan bahawa Islam sebagai agama rasmi negara, namun ia turut membenarkan kebebasan beragama diamalkan dalam kalangan warganegara yang bukan Muslim.
Dari segi geografi, Malaysia terbahagi kepada dua bahagian oleh Laut China Selatan iaitu Semenanjung Malaysia atau Malaysia Barat yang disempadani oleh Thailand di Utara dan Malaysia Borneo atau Malaysia Timur yang terletak di utara Pulau Borneo di Laut China Selatan.
Dari segi sosial, Malaysia mempunyai pelbagai suku kaum dan bangsa yang kira-kira 50 peratus daripadanya dikelaskan sebagai bangsa Melayu serta mengamalkan agama Islam beraliran Sunnah. Komuniti lain yang terbesar pula ialah komuniti Cina dan komuniti India.
Sistem pentadbiran Malaysia berbentuk monarki berperlembagaan serta berasaskan pilihanraya. Ia mirip seperti sistem parlimen Westminster yang merupakan warisan penjajah British. Ketua negara Malaysia digelar sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong (YDPA) yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja yang keanggotaannya terdiri daripada sembilan (9) orang sultan atau raja dari negeri Melayu untuk tempoh satu penggal selama lima (5) tahun secara bergilir-gilir untuk memegang jawatan tersebut. Peranan baginda YDPA ini umumnya bersifat upacara sejak tahun 1994 selepas Perlembagaan Persekutuan Malaysia diubah. Semua kuasa eksekutif di Malaysia telah diamanahkan kepada kabinet yang diketuai oleh perdana menteri. Selepas itu, perdana menteri menjadi ketua kabinet dan juga ketua kerajaan yang memerintah pentadbiran di Malaysia.
Malaysia ialah anggota pengasas dalam ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Ia menjadi ahli dalam pelbagai pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kerjasama Ekonomi Pasifik, dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM). Dasar luar Malaysia secara rasminya didasarkan kepada prinsip berkecuali dan memelihara hubungan yang aman dengan semua negara namun memfokuskan juga kepada keselamatan serta kestabilan rantau Asia Tenggara.
Sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia, ia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik. Kadar Pengeluaran Negara (GDP) nya mengalami pertumbuhan pada kadar purata 6.5 peratus setiap tahun selama 50 tahun. Malaysia menjadi salah satu daripada 17 negara dengan kepelbagaian di atas muka bumi dengan sumber asli yang kaya serta menjadi nadi penggerak ekonominya. Sejak tahun 1990an lagi, ia mula memperkembang ekonominya kepada sektor sains, pelancongan, perdagangan dan pelancongan perubatan. Sehingga tahun 2017, Malaysia mempunyai pasaran ekonomi industri yang baru, dicatatkan sebagai ketiga terbesar di Asia Tenggara dan ke-29 terbesar di seluruh dunia.