Hubungan Perdagangan Thailand-Malaysia

Thailand dan Malaysia kedua-duanya bersetuju untuk memperkembang jaringan kerjasama dari segi perdagangan dan pelaburan. Kedua-dua negara menekankan kemajuan ekonomi, jaringan perhubungan landasan kereta api dan juga jalan raya di sempadan masing-masing. 

Kerajaan Thailand berusaha menghapuskan cabaran kepada pembangunan, kemiskinan dan menangani isu pengangguran di Selatan Thailand dengan membangunkan Zon Ekonomi Khas Sadao-Padang Besar di sempadan selatan demi menjana pekerjaan serta pendapatan penduduk di situ. Thailand juga merancang untuk menggalakkan pelabur Malaysia supaya menjalankan lebih banyak perdagangan yang melibatkan minyak dan tenaga, getah, automobil, gula, beras dan pelancongan di Selatan Thailand. Menurut kepada Timbalan Perdana Menteri Thailand, sektor yang menarik minat pelabur di Thailand termasuklah pengeluaran makanan halal dan getah.

Thailand juga menjalankan kajian mengenai pembangunan Bandar Getah di Estet Industri rantau Selatan yang terletak di Ban Chalung, daerah Hatyai, wilayah Songkhla dalam usahanya menggalakkan industri pemprosesan getah dan menambah nilai produk getah Thailand. Malaysia juga juga berminat dalam mempromosi pelancongan antara kedua-dua negara.

Menurut Menteri Perdagangan Thailand, Malaysia ialah salah satu rakan dagang terbesar Thailand di ASEAN dan merupakan yang keempat daripada semua. Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara bangsa ini berkembang pada purata 10.54 peratus setiap tahun dari tahun 2013 hingga tahun 2017. Nilai perdagangan rentas sempadan antara Thailand dan Malaysia untuk tahun 2016 pula adalah sebanyak US$26.5 bilion. Kedua-dua negara bersetuju untuk merancakkan lagi perdagangan dua hala. Mereka berkeputusan untuk mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama selang beberapa tahun sekali.

Sebagai satu-satunya pengeksport bersih Asia, Malaysia telah mengalami kesan yang agak besar akibat kejatuhan harga minyak sejak Jun 2016. Elemen utama dalam ekonomi Malaysia adalah eksport petroleum, sumber semulajadi dan pertanian serta merupakan pengeluar logam aluminium, getah dan minyak sawit terbesar dunia. Aktiviti berkaitan minyak dan gas membentuk sepertiga daripada keuntungan fiskal negara Malaysia.

Di samping itu, Thailand juga mempunyai ekonomi yang bergantung dengan eksport produknya keluar negara. Antara eksportnya adalah beras, tekstil, kasut, produk ikan, hiasan dari getah, kad, komputer dan peralatan elektrik. Menjelang tahun 2012, industri automotif Thai berkembang menjadi industri yang terbesar di Asia Tenggara dan yang kesembilan terbesar di dunia.

Walau bagaimanapun, Malaysia masih lagi menjadi pilihan pertama pelabur kerana kredit pelaburan gred A yang diterima olehnya dari pelbagai agensi rating berbanding dengan Thailand yang mempunyai gred pelaburan yang lebih rendah.

Kesimpulannya, Thailand mempunyai kedudukan baki bayaran yang lebih kukuh dan menerima manfaat dari harga minyak yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, ia perlu berusaha lebih lagi bagi membetulkan perjalanan ekonominya. Situasi selepas COVID-19 menunjukkan bahawa situasi semakin pulih untuk kedua-dua negara memperkukuh hubungan perdagangan masing-masing. Sementara itu, ekonomi Malaysia pula mempunyai kelebihan dari segi sumber aslinya yang besar seperti minyak dan lain-lain yang tidak dipunyai oleh jiran-jirannya. Namun, Malaysia perlu menerokai lebih lagi peluang dalam sektor perkhidmatan dan memperbaiki persekitaran perniagaan untuk pelaburan asing jika ia ingin terus maju sebagai ekonomi yang berpendapatan tinggi. Dari segi persekitaran, Thailand mengalami krisis politik yang lama, jadi tidak dapat dipastikan bila situasi akan kembali normal. Jika keganasan di Selatan Thailand meningkat kembali, maka ia akan merumitkan lagi politik di Bangkok serta hubungan Thailand dengan Malaysia. 

Akhir sekali, menarik juga untuk kita lihat bagaimanakah kedua-dua negara ini mengatasi isu dalam hubungan dua halanya bagi mencapai keamanan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.