Etimologi Nama Negara Thailand

Thailand dikenali oleh orang asing sebelum tahun 1939 sebagai สยาม Siam. Menurut George Coedes (1968) dalam The Indianised States of Southeast Asia terbitan University of Hawaii Press, perkataan ไทย Thai bermaksud "orang yang bebas" dalam bahasa Thai bagi "membezakan orang yang bebas dengan orang asal bertaraf buruh" yang berada di Siam.

Selain itu, Chit Phumisak, seorang sejarawan Thailand (1992) dalam ความเป็นมาของคําสยาม ไทย, ลาว และขอม และลักษณะทางสังคมของชื่อชนชาติ: ฉบับสมบูรณ์ เพิ่มเติม ข้อเท็จจริงว่าด้วยชนชาติขอม [Etymology of Siam, Thai, Lao, Khmer] (dalam bahasa Thai) terbitan Samnakphim Sayām pula berpendapat bahawa perkataan ไท Thai hanya bermaksud manusia atau orang. Penyelidikan beliau menunjukkan bahawa perkataan Thai ini digunakan di kawasan pedalaman bagi merujuk kepada perkataan orang yang selalunya dirujuk sebagai คน kon dalam bahasa Thai Tengah.

Di samping, Frédéric Pain (2008) dalam "An Introduction to Thai Ethnonymy: Examples from Shan and Northern Thai" terbitan Journal of the American Oriental Society memetik idea Michel Ferlus bahawa etnonim atau nama suku kaum Thai-Tai atau Thay-Tay ini boleh jadi berkembang dari etimon *k(ə)ri yang bermaksud "manusia".

Orang Thai selalunya merujuk kepada negara mereka menggunakan bentuk sopannya iaitu ประเทศไทย Prathet Thai. Kadang kala mereka menggunakan istilah basahan iaitu เมืองไทย Muang Thai atau hanya ไทย Thai sahaja. Dalam bahasa Thai lama, perkataan muang ini merujuk kepada "negara-kota" yang biasanya digunakan bagi merujuk kepada kota atau pekan yang menjadi pusat di sesuatu rantau.

ราชอาณาจักรไทย Anachak Thai bermaksud "Kerajaan Thailand" atau "Kerajaan Thai" dari segi etimologinya berasal dari komponen perkataan bahasa Sanskrit seperti berikut:

  • ราชา ratcha dari perkataan rājān bermaksud, raja, diraja, atau alam;
  • อาณา āṇā dari perkataan ājñā bermaksud, kekuasaan, perintah, dan kuasa; dan
  • จักร chak dari perkataan chakra bermaksud, roda yang menjadi lambang kekuasaan dan pemerintahan negara.  

Selanjutnya, lagu kebangsaan Thailand atau เพลงชาติ pleng chat yang ditulis oleh Luang Saranupraphan semasa zaman patriotik tahun 1930an merujuk kepada negara bangsa Thai sebagai Prathet Thai. Baris awal dalam lagu kebangsaan Thailand berbunyi, ประเทศไทยรวมเลือดเนื้อชาติเชื้อไทย prathet Thai ruam luead nuea chat-chuea Thai, bermaksud, "negara bangsa Thai disatukan oleh darah daging yang sama".

Sementara itu, Chit Phumisak berpendapat bahawa nama lama Thailand iaitu Siam pula berasal dari perkataan bahasa Sanskrit iaitu śyāma yang bermaksud gelap atau dalam bahasa Mon iaitu rhmañña yang dalam bahasa Melayu bermaksud orang asing, kemungkinannya berasal dari akar yang sama bagi perkataan Shan dan Assam seperti yang disebut dalam Shan Manuscripts oleh Chaichuen Khamdaengyodtai dan Barend Jan Terwiel terbitan tahun 2003.

Dalam pada itu, perkataan śyāma berkemungkinan bukanlah digunakan sejak azali, tetapi adalah penyimpangan yang berasal dari makna asalnya. Teori lain pula mencadangkan terbitan nama dari panggilan orang China kepada rantau Siam itu sebagai "Xian". Manakala orang Khmer pula merujuk kepada penduduk yang tinggal di barat lembah Sungai Chao Phraya mengelilingi kota purba Nakhon Pathom di kawasan Thailand tengah pada zaman moden sebagai orang Siam. Berdasarkan kepada hasil kajian Pusat Antropologi Puteri Maha Chakri Sirindhorn dalam jurnal จารึกวัดศรีชุม Wat Sri Chum Inscription diterbitkan pada 28 Ogos 2023, rujukan ini berkemungkinan berasal dari nama baginda Begawan Krishna yang turut digelar sebagai Shyam, seperti yang tercatat dalam prasasti Wat Sri Chum bertarikh pada abad ke-13 masihi yang menyebut bahawa, "Phra Maha Thera Sri Sattha datang memperbaiki Phra Pathommachedi di kota Sri Krishna (Nakhon Pathom) pada awal era kerajaan Sukhothai."

Selain daripada itu, tandatangan baginda Raja Mongkut yang memerintah dari 1851 hingga 1868 berbunyi, Somdet Phra Poramenthra Maha, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sebagai, "Mongkut Rex Siamensium" bermaksud, "Mongkut, Raja Siam". Penggunaan nama ini pada perjanjian antarabangsa julung kali negara itu menjadikan nama Siam ini sebagai status rasmi negara hinggalah pada 24 Jun 1939 apabila nama Siam diubah ke Thailand.