6 Jun 2019 - Chiangmai

10.30 - 12.00 am

Aku bergegas ke KLIA II dari Putrajaya Sentral. Tambang sehala ke KLIA II dari Putrajaya Sentral adalah RM 9.40. Aku gunakan kad Touch and Go sahaja sebab aku sudah top-up kredit dia.  Keadaan di lapangan terbang tersebut tidak begitu sibuk. Aku check-in di mesin sahaja dan aku buat penambahan berat bagasi sebagai langkah berhati-hati semasa balik nanti. Aku dikenakan bayaran sebanyak RM 70.00 lebih. Kemudian, aku timbang berat bag pack aku. Aku dapati terlebih sekilo. Bangsat betul aku terpaksa buang selfie stick aku yang memang sudah jahanam itu serta beberapa barangan lain yang aku pastikan tidak begitu berguna kepada aku, haha.

2.00 - 3.00 pm
Penerbangan aku dengan Air Asia adalah pada jam 2.55 petang dan dijangka akan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiangmai pada jam 4.40 petang waktu Thailand. Penerbangan lewat sejam sebenarnya iaitu pada jam 3.00 petang lebih. Jadi, waktu ketibaan di Chiangmai pun sudah lari.

5.00 - 6.00 pm

Di Chiangmai aku dapati banyak sekali pelancong dari China dan pelancong-pelancong keturunan Cina dari negara lain yang ingin melawat Chiangmai. Minat sungguh mereka dengan wilayah ini. Aku mendengar pegawai imigresen turut berbahasa Cina bagi memudahkan pelancong berbahasa Cina di kaunter visa ketibaan. Barisan panjang sekali dan lembap menyebabkan aku tersangkut di bahagian kawalan pasport sehingga jam sekitar 8.00 pm waktu Thailand. Selesai urusan pemeriksaan passport, aku terus bergegas ke pintu no. 3 mencari teksi. Aku ambil teksi dengan tambang 150 Bhat. Kakak yang jaga di pintu beritahu aku bahawa harga teksi tidak berubah-ubah pun. Harganya itu sahajalah kalau nak ke mana-mana pun dalam bandar Chiangmai dari lapangan terbang itu. Aku pun malas nak cakap banyak maka aku ikut sahaja abang teksi.

7.00 - 8.00 pm
Aku tidak ingat nama jalan nak ke hostel yang aku tempah. Aku cuma ingat mercu tanda jadi abang teksi cuma tinggalkan aku di Pratu Thapae. Aku beritahu abang teksi bahawa aku orang Songkhla, haha. Aku malas hendak bersoal jawab dengan orang. Jadi, aku berjalan pi balik di 'Thanon Mula Muang' selama sejam juga sehinggalah aku baca balik dokumen yang aku cetak keluar. Ia menyatakan bahawa hostel tersebut terletak di 'Thanon Thapae Soi 1'. Aku berjalan sampai ke hujung jalan tersebut baru aku nampak hotel tersebut di lorong no. 1. Receptionist hostel itu bagus sekali. Dia menerangkan kepada aku bagaimana cara untuk aku ke daerah Prao dan bagaimana aku boleh pergi ke stesen van di daerah Chang Phueg. Dia beritahu bahawa "Rot Daeng" yang awal sekali adalah pada jam 7.30 am. Aku boleh tahan sahaja mereka dan bayar 30 Bhat. Tambang itu adalah tambang fixed untuk ke mana-mana sahaja dalam bandar Chiangmai.

Hostel aku tidur itu bernama 'Stay Thapae Hostel'. Sepatutnya aku membayar sebanyak 490 Bhat namun receptionist mengurangkan harga kepada 390 Bhat sahaja. Mungkin dia kasihan atau mungkin sebab ketika itu adalah low season. Ia mungkin menjadi cara mereka mempromosikan rumah tumpangan mereka. Bilik aku duduk itu adalah bilik bercampur dan katil-katil berada dalam kotak-kotak. Aku nampak seorang lelaki kulit putih di sebelah katil aku. Beg-beg aku disimpan dalam loker berkunci. Dalam kotak tidur itu ada tempat mengecas telefon bimbit. Tandasnya pun luas dan selesa walaupun berkongsi. Mungkin sebab orang tidak ramai. Di tingkat atas pula terdapat bilik tumpangan untuk wanita sahaja.

10.00 - 12.00 am 
Aku tidur awal sebab esoknya aku mahu ke daerah Prao. Aku nak ke kedai abang Bru untuk melawat abang Bru sebab beliau mesej aku seperti kecil hati aku tidak pergi melawat beliau semasa aku melancong di Krabi pada bulan Mei. Aku harap trip ke Chiangmai ini dapat meluaskan lagi pemandangan aku dan memberikan pengetahuan baru kepada aku mengenai negara asing.