8 Jun 2019 - Chiangmai

6.00 - 7.00 am

Aku bangun agak lewat juga hari itu. Rasa malasnya hendak bangun sebab aku memang orang yang pemalas bangun pagi. Selain itu, aku sering tidur sayup dan selalu berasa tidak secure akibat sentiasa keseorangan dan ditimpa pengalaman yang menimbulkan trauma dalam hidup.

Aku bangun juga dan mandi. Lalu aku pun bersiap untuk keluar mencari barang makan. Namun, tiada sebarang kedai makan berdekatan dengan resort tersebut. Seven Eleven pun terletak jauh di pekan dan aku perlu berjalan pula. Sebab aku ingin tahu apakah yang terbentang di laluan yang keluar dari pekan, maka aku pun berjalan sahaja. Aku melintas jalan dan melalui bendang orang tempatan.

Kemudian, semasa berjalan itu aku ternampak wat pa atau biara hutan yang mungkin dibina untuk memperingati orang alim tempatan di laluan yang berlawanan. Lalu, aku pun melintas dan masuk ke kawasan biara hutan itu. Aku nampak seorang lelaki berbasikal yang kelihatan seperti orang Cina. Aku sangkakan warganegara Singapura namun aku pelik bagaimana orang Singapura boleh terlepas ke Prao yang ke hulu dari bandar Chiangmai itu? Aku berjalan sahaja dan tidak menegur lelaki itu, melalui kawasan ruangan makan bhiksu. Sambil itu aku snap gambar sedikit buat kenangan dan peringatan bahawa aku telah sampai ke situ. Terdapat beberapa bahagian utama di biara tersebut yang masih dalam proses penambahbaikan atau dalam proses pembinaan. Aku cuma bagi wai kepada phra di luar kawasan sahaja. Malas nak mencari reba masalah dalam longgokan batu bata.

Aku berjalan sampai di kawasan kuti iaitu perumahan bhiksu, barulah lelaki yang aku sangkakan orang Singapura itu menegur aku. Dia bercakap bahasa Thai. Jadi, aku pastilah bahawa dia adalah orang Thailand dan bukan orang Singapura. Aku malas nak tunggu lama takut dia suruh aku jadi jurugambar macam orang Malaysia suka buat, haha. Aku pun balik semula ke bilik di resort.

8.00 - 9.00 am

Aku susun barang aku dalam beg balik kerana aku tak mahu tertinggal sebarang benda penting. Benda penting sekali adalah pasport, wallet, pengecas telefon dan telefon. Tak lama selepas itu kedengaran orang ketuk pintu. Aku pun buka pintu lalu mendapati bahawa pemilik resort itu berada di depan pintu. Dia beritahu aku bahawa ada seorang lelaki datang dengan kereta nak jemput aku ke pekan. Aku hairan juga itu abang Bru kah? Dia kata bukan. Aku pun maklumkan pemilik resort yang aku akan tunggu di restoran. Nanti, ada lah sesiapa yang datang jemput aku. Aku bersedia pun untuk jalan kaki ke pekan kalau tiada siapa ambil, haha. Tak lama abang Bru pun mesej aku dan kata dia akan ambil. Bila dia sampai, aku tanyalah adakah dia datang tadi? Sebab aku tiada di bilik masa itu. Dia kata bukan. Sebab dia baru sahaja mesej aku dan baru nak jemput aku. Aku rasa mungkin abang Ken yang datang tadi.

10.00 - 12.00 pm

Kami ke stesen bas dulu untuk membeli tiket bas. Abang Bru minta pasport aku. Dia mungkin nak tengok butiran aku. Adoi, mereka tahulah nama panjang aku nanti. Aku segan nak beritahu orang butiran macam nama panjang sebab ia berbunyi asing. Katanya pasport diperlukan untuk daftar ke sistem stesen bas. Kemudian, dia berikan nombor telefon dia. Mungkin untuk urusan insurans kemalangan atau kecemasan. Kakak jaga tiket beritahu bahawa bas akan datang dalam pukul 2.00 pm di depan kedai abang Bru. Jadi, aku ada masa dalam lima jam sebelum bas itu datang menjemput aku.

Sebab aku segan aku mungkin mengganggu perniagaan orang, maka aku buat alasan nak berjalan-jalan sekitar pekan di depan sana. Aku minta kebenaran tinggalkan beg pakaian aku di kedai mereka. Aku pun berjalan untuk top up kredit di mesin top-up kredit telefon di depan Seven Eleven di depan pasar pekan Prao. Aku pergi berjalan-jalan tengok makanan yang pelik-pelik yang tiada di Malaysia. Memang banyak jenis makanan yang nampak menyelerakan dijual di situ. Geram pula melihatnya. Kalau aku tinggal di situ memang aku dah borong bawa balik ke rumah. Tak payah aku masak susah-susah sendiri. Selepas itu, aku sembunyi sekejap dekat kawasan Bank Krungsri untuk membuat tempahan hotel di bandar. Aku cuba Hotel Ibis Style Chiangmai sebab nampak seperti hotel yang boleh tahan dan tak berhantu. Ia terletak di daerah Changkian. Aku buat tempahan untuk tiga malam terus bermula dari 8 Jun sehingga 10 Jun 2019. Menurut review terbaru, kawasan depan hotel itu sedang dalam proses pengubahsuaian jadi jalan nak masuk ke hotel itu mungkin tidak selesa sedikit. Sedang aku ralit membaca review hotel, aku dihon oleh motor. Abang Ken rupanya yang hon aku. Tak tahulah dia membeli barang di pekan atau mungkin dia nak tengok aku berada di mana.

Aku rasa jam masih awal lagi. Ketika itu jam menunjukkan sekitar pukul 12.00 pm lebih. Aku buat keputusan untuk merodong di lorong-lorong kecil di pekan Prao. Akhirnya aku tembus ke kawasan berdekatan dengan Hospital Daerah Prao. Ia adalah sebuah hospital kerajaan dan di depannya ada kedai-kedai mee. Orang di sebelah utara ini makan makanan yang hampir nak serupa dengan orang Cina. Mungkin rantau mereka dah berdekatan dengan China maka bentuk kebudayaan mereka pun terpengaruh juga dengan negara jiran.

Tak jauh dari situ rupanya, aku kembali ke stesen minyak Prao. Jadi, aku melepak dekat stesen minyak. Aku belum sempat lepak di Kedai Kopi Amazon di situ lagi. Maka, aku pun melepak di situ minum Teh Matcha Ais. Rasanya memang kaw lah sebab dia tak letak gula langsung. Selepas itu, aku beli beberapa bahan seperti roti serta kuih dan makan di stesen minyak. Cuaca memang panas terik. Garing kulit aku kena panahan matahari di situ. Dalam lorong-lorong di sebelah stesen minyak itu pun ada kedai tembikar dan kedai-kedai orang kampung yang lain. Keadaan yang sama aku lihat di Krabi, cuma orang Krabi banyak buka perniagaan makanan berbanding benda-benda kesenian.

1.00 - 2.00 pm

Aku berjalan balik ke kedai somtam abang Bru. Abang Bru tanya aku lapar atau tidak. Aku cuma beritahu, aku dah makan semasa berjalan-jalan sambil tengok-tengok pekan itu. Aku tunggu lama juga di situ namun van masih belum kunjung tiba. Aku dah menguap-nguap mengantuk nak tertidur sebab cuaca di situ memang sangat panas. Aku agak suhunya lebih kurang 34 darjah begitu. Van Prem Ratcha tiba lebih kurang pukul 3.00 lebih. Mungkin ia pergi ambil penumpang di tempat lain dulu. Aku wai semua orang di kedai sebab aku menghargai mereka susah payah menerima tetamu. Sebenarnya aku tak berniat pun untuk ke Chiangmai dalam masa terdekat tapi aku datang juga sebab aku risau tengok mesej abang Bru hari itu. Orang kata kalau kita bertuah, kita jangan buat perangai celaka mendabik dada kepada orang lain. Sebab aku sering melalui masa-masa yang celaka, maka aku memang ambil berat dengan benda-benda begini.

3.00 - 5.00 pm

Dalam van tersebut ada seorang kakak dan makcik yang suruh abang van itu berhenti sesuka hati di jalan. Walaupun perempuan-perempuan itu bercakap dengan sopan, namun aku rasa abang van itu marah sangat. Mungkin ada hal yang menyebabkan van dia terlambat maka dia meradang bila disuruh berhenti sesuka hati. Jadi, perempuan-perempuan itu kena turun juga di tempat mereka suruh berhenti itu.

Dalam perjalanan aku terfikir menyesal pula pulang awal ke bandar. Sebab aku teringin nak tahu apa lagi tempat-tempat menarik di sekitar pekan Prao. Contohnya, air terjun atau hiking trail di situ tapi memandangkan tuan rumah di situ pun sibuk dengan pekerjaan harian mereka. Aku pun menjadi segan pula. Takut menyusahkan mereka pula.

Dalam van tersebut aku pun bermesej dengan kawan-kawan seperti Mat Met dan Azroy, budak Kelantan. Aku snap sedikit gambar-gambar dalam perjalanan untuk mereka lihat juga laluan yang aku telah lalui. Sebenarnya, lebih kepada aku nak rekod laluan perjalanan aku sebagai rujukan sendiri. 

6.00 - 7.00 pm

Van tiba di Stesen Chang Pueg lebih kurang jam 5.00 petang lebih. Waktu di Malaysia lebih kurang jam 6.00 petang. Aku paling benci berada di luar rumah waktu-waktu perubahan cerah ke gelap ini. Di stesen itu, aku sebenarnya tak tahu cara nak ke hotel penginapan. Walaupun reti bercakap bahasa kebangsaan di situ sekalipun, sebab kita bukan orang tempatan di situ maka kita tak tahu rujukan nama tempat yang tempatan di situ. Selain itu, perbezaan loghat bahasa juga memburukkan keadaan. Aku berjalan mundar-mandir. Akhirnya aku buat keputusan naik tuktuk dan celakanya aku dikenakan bayaran sebanyak 150 bhat. Jaraknya Stesen Chang Pueg ke Hotel Ibis Style, Chiangmai jika berjalan kaki melalui Baan Sthaporn adalah dalam 3.4 km. Masa berjalan kaki dalam sejam. Kalau naik kereta melalui laluan Muzium Negara, Chiangmai maka kita akan mengambil masa 15 minit dengan jarak dalam 5.7 km.

Walaupun aku hangat hati, namun aku malas nak fikir dah mengenai tambang tuktuk itu. Lagipun, pemandu tuktuk itu pun orang tua yang nampak sebaya dengan ibu bapa aku. Aku pasrah saja. Aku sampai di hotel pun waktu itu pun sudah gelap. Dah sampai lalu check-in di kaunter di tingkat dua. Ternyata review dalam laman web tempahan hotel itu memang betul. Ada pembinaan atau pengubahsuaian dekat hotel itu.

7.00 - 8.00 pm

Aku check-in menggunakan kad kredit sebab aku takut tiada wang tunai nak guna masa berjalan dalam 4 hari yang berbaki di bandar Chiangmai. Aktiviti malam aku tak banyak sangat pun pada hari ini. Aku cuma lepak dalam bilik sahaja tengok TV sampai aku rasa lapar. Aku nampak dari tingkat atas ada gerai-gerai makanan dan Seven Eleven di sebelah belakang hotel itu. Bilik aku menghadap jalan dan belakang hotel. Bilik itu terletak di hujung sekali. Kalau ada Seven Eleven dan gerai makan berdekatan maka selamatlah aku, haha.

9.00 - 10.00 pm

Aku turun pergi makan mee di gerai sebelah Seven Eleven. Kemudian, aku beli barang-barang di Seven Eleven untuk aku berjoli seorang-seorang dalam bilik hotel penginapan tiga bintang yang berhawa dingin itu, kah kah. Aku tonton televisyen sambil buat rancangan untuk berjalan esok pagi. Aku sebenarnya nak ke Doi Suthep dan Doi Inthanon namun aku tak reti nak ke sana sendiri. Kalau nak sumbat semua dalam satu kali trip sahaja aku rasa mustahil. Aku kena fokus dahulu aku nak tengok yang mana satu. Jadi, keputusan aku adalah untuk menerokai bandar Chiangmai dahulu. Aku tidur lebih kurang jam 12.00 am atau lebih kurang jam 1.00 am waktu Malaysia.