13 Orang Migran Tidak Berdokumen dihantar pulang ke Thailand

Menurut rencana oleh Ivan Loh yang diterbitkan oleh akhbar harian The Star Online pada 25 Mei 2024 (Sabtu), seramai 13 orang migran tidak berdokumen dari negara Thailand telah dihantar pulang ke negara asal pada 24 Mei 2024 (Jumaat).

Menurut Tuan Meor Hezbullah Meor Abd Malik, Pengarah Jabatan Imigresen Perak, daripada jumlah 13 orang migran tersebut, seramai empat (4) orang lelaki, lapan (8) orang wanita dan seorang (1) remaja lelaki telah dihantar pulang semula ke negara Thailand. Mereka berusia antara 17 tahun hingga 44 tahun dan telah ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Langkap, Perak. 

Proses penghantaran semula mereka dibuat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Bukit Berapit, Pangkalan Hulu, Perak. Kesemua mereka telah menjalani hukuman termasuklah denda dan penjara selepas disabitkan dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Malaysia. Selepas ini mereka akan disenaraihitam daripada memasuki Malaysia.

Pengarah Jabatan Imigresen Perak berkata bahawa program penghantaran pulang mereka ini adalah sebahagian daripada aktiviti penguatkuasaan berterusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menghalang kemasukan migran asing di Malaysia.