13 Disember 2025 - Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bangkok

 


Aku membuat persiapan yang agak rapi juga kalau tidak sempurna pun bagi perjalanan ini. Pada awalnya, Tom sibuk sangat hendak membeli Iphone 1.6 yang berharga di bawah RM 2,300.00 di Bangkok untuk diberikan kepada aku. Aku rasa dia sebenarnya teringin hendak mendapatkan telefon tersebut untuk dihadiahkan kepada aku tetapi dia tidak mempunyai duit. Jadi, dia meminjam duit dari saudara lain di Ayutthaya lalu membelikan telefon tersebut hingga menyebabkan aku rasa bersalah. Jadi, aku membayar semula kepadanya dan menyuruh dia pulangkan wang kepada saudara di kampung. Aku maklumkan akan ke Bangkok dan mengambil sendiri telefon itu kerana kalau tidak Tom akan turun ke Kuala Lumpur menghantar barang. Dia bukan orang berduit dan aku rimas pula kerana terasa aku menyusahkan orang walaupun bukan aku yang minta dia tolong belikan itu dan ini. 

Berbalik kepada persiapan sebelum datang, aku juga telah berhubung dengan abang Lek. Beliau ini adalah salah seorang senior yang telah lama aku kenali dan bekerja di kem tentera wilayah sempadan di Timur Laut. Aku maklumkan ingin melawat beliau kerana lama tidak berjumpa dan aku pun memang teringin melawat wilayah Timur Laut. Disebabkan aku tidak begitu pasti mengenai situasi di Bangkok jadi aku membeli tiket penerbangan VietJet ke Ubon Ratchathani namun penerbangan akan bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi. Sedangkan dari Kuala Lumpur ke Bangkok aku akan turun di Lapangan Terbang Don Mueang berdekatan dengan kem tentera udara. Harga tiket VietJet untuk pergi dan balik antara Bangkok dan Ubon Ratchathani pun dalam RM 500.00 juga.

Bertolak dari Kuala Lumpur ke Bangkok 

Di Malaysia, aku keluar awal dari rumah sekitar jam 07.30 pagi dan meletakkan kereta di Putrajaya. Kemudian aku mengambil ERL ke Lapangan Terbang KLIA II dan sampai di situ sekitar jam 9.00 pagi. Aku cuma membawa dua biji bag pack sahaja tiada sebarang bagasi kerana aku takut leceh menunggu di karousel. Tiba di lapangan terbang aku cuma mundar mandir saja dan menimbang beg aku. Lega kerana beg aku kurang daripada tujuh kilogram. Seterusnya aku membeli roaming untuk menggunakan talian telefon serta internet di Thailand. Harganya lebih kurang RM 49.00 untuk Celcom. 

Aku masuk ke balai berlepas yang mengambil masa setengah jam kerana ruangan depan ke balai berlepas pun agak jauh juga. Sampai di balai berlepas, aku membeli Burger King untuk sarapan. Selepas itu aku pergi ke ruangan menunggu di balai berlepas. Tepat jam 10.30 pagi, penerbangan FD312 Air Asia Thailand berlepas ke Lapangan Terbang Don Mueang. 

Tiba di Lapangan Terbang Don Muang, Bangkok

Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam. Aku sampai di Lapangan Terbang Don Mueang sekitar jam 12.30 tengah hari mengikut waktu Malaysia. Sedangkan di Thailand ketika itu lewat sejam daripada Malaysia iaitu pada jam 11.30 pagi. Aku berasa risau apabila menunggu pasport dicap oleh kakitangan imigresen namun syukurlah segalanya berjalan lancar. Aku telah menyediakan satu fail yang mengandungi semua dokumen rujukan termasuklah salinan Borang Ketibaan Digital. Kebetulan pada masa ini Kemboja sedang berkonflik dengan Thailand untuk kali keduanya kerana perebutan tanah sempadan di wilayah Timur Laut Thailand. Sebaik saja keluar di balai ketibaan, aku disambut oleh Tom yang memang sudah menunggu di situ. Dia memandu kereta dan meletakkan kereta di tempat meletak kenderaan di sebelah lapangan terbang. Tom membawa aku pergi makan tengah hari dahulu di Kedai Boat Noodle Makcik Sri di Rangsit.



Beginilah rupanya boat noodle di Rangsit, Pathum Thani. Mereka makan dengan kulit babi yang digoreng bersama dengan bawang putih. Boat noodle nya sedap tetapi agak pedas juga. Harganya sekitar 60 Bhat dalam RM 7.00 mengikut kiraan matawang Malaysia.


Kemudian, aku dibawa pulang dahulu oleh Tom ke rumah sewanya di Baan Suan Prikthai. Kawasan perumahannya itu berjarak lebih kurang 20 minit berjalan kaki ke Stesen TBS Rangsit. Sampai saja di rumah Tom pun dengan gigihnya memperkenal aku kepada Iphone 16 second hand yang telah dibelinya. Petangnya dia membawa aku ke Pusat Membeli Belah Future kononnya untuk membuka akaun bank tempatan bagi membolehkan aku menggunakan kad ATM di Thailand dan tidak perlu membawa wang tunai yang banyak dan juga mencari pusat pendaftaran kad SIM Thailand.

Bersiar di Bangkok pada Malam Hari

Syukurlah hari ini adalah hari Sabtu jadi Tom bercuti dan boleh menemani aku berjalan-jalan. Tom membawa aku ke Stesen TBS Rangsit dengan menaiki motosikal. Dia meletakkan motosikalnya di tepi stesen itu saja. Malamnya kami berjalan di kawasan Bang Suer kerana aku ingin melihat sistem kereta api di Bangkok.


Menurut Tom, nama rasmi stesen ini ialah Stesen Krung Thep Aphiwat. Tetapi orang tempatan di Bangkok hanya menyebutnya sebagai Stesen Bang Suer saja. Tom membantu aku mengambil gambar di sekitar stesen tersebut sebagai kenangan namun aku perlu mencari kembali gambar-gambar tersebut kerana gambarnya terpecah-pecah ke pelbagai peranti disebabkan oleh kebimbangan kepada kualiti gambar.

Seingat aku, kami menaiki bas dari Bang Suer untuk ke kawasan Sanam Luang. Terdapat kawasan istana di mana orang ramai masih berkabung kerana kehilangan kerabat diraja. Seterusnya, aku makan nasi 7E saja bersama Tom di tepi jalan sambil menikmati pemandangan malam di Sanam Luang. Rasanya orang Thailand suka makan begini dan tak makan di kedai seperti orang di Malaysia. Makanan dalam 7E mereka pun banyak jadi memang rambang mata nak memilih. Kalau di Malaysia, semuanya barang import yang mahal saja dan tak ada pilihan sangat pun. Sebab itu mungkin kita tak begitu suka sangat beli makanan di 7E kalau di Malaysia. Sanam Luang ini terkenal juga dengan kupu-kupu malam dan di belakangnya Phra Ram ada lorong di sepanjang sungai di mana lelaki pula menjual diri untuk menemani wanita atau sesiapa saja yang kesunyian. 


Seterusnya kami ke kawasan Yaowarat. Kawasan ini sebenarnya adalah kawasan Chinatown macam Jalan Petaling di Kuala Lumpur cuma aku nampak Chinatown mereka lebih besar daripada Chinatown di Kuala Lumpur. Pekan Cina di Malaysia sebenarnya banyak dan berselerak di merata-rata Pantai Barat Semenanjung dan di Sabah serta Sarawak. 


Sekian, terima kasih.